Rabu, 20 Disember 2017 | 7:19pm
PENGARAH JPN Sarawak, Jasni Jubli bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah di Bangunan Baitulmakmur, di Petra Jaya. - Foto Mohd Latif Ahmad

Sarawak awasi proses warganegara

PETRA JAYA: Tidak semudah yang disangka. Mungkin itu adalah 'rungutan' dari warga asing di kawasan luar bandar termasuk di pedalaman Sarawak yang bertindak licik memohon berkali-kali bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan kepada Pasukan Petugas Khas (PKK) membabitkan pemberian taraf kewarganegaraan.  

Tidak cukup dengan itu, warga asing berkenaan begitu berani menggunakan pelbagai nama seiras nama komuniti tempatan dengan tanggapan tindakan terbabit mampu mengabui PKK, namun taktik itu pantas dihidu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak menerusi proses saringan permohonan ketat.

PKK adalah pasukan bertanggungjawab menyelesaikan isu ketiadaan warganegara di negeri ini yang masih membelenggu masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Pengarah JPN Sarawak, Jasni Jubli, berkata warga asing berkenaan sentiasa mempelbagaikan taktik mereka bagi mendapatkan taraf warganegara ini dengan meletakkan nama mereka di bawah senarai ahli keluarga yang mempunyai anak angkat.

"Warga asing terbabit sanggup mengikuti operasi PKK yang melaksanakan pendaftaran bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain semata-mata mahu mendapatkan kad pengenalan Malaysia yang sah.

"Sebab itu mereka tanpa berputus asa memohon berkali-kali menggunakan nama berbeza," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah, di Bangunan Baitulmakmur, di sini.

Jasni ketika mengulas lanjut, berkata tembelang pembohongan warga asing terbongkar selepas PKK melakukan temuduga pemohon dan Ketua Kaum dalam kawasan.

"Siasatan lanjut mendapati mereka bukan warga tempatan dan berhasrat menjadi warganegara Malaysia kerana mahu mendapatkan keistimewaan sebagai rakyat di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 2,198 daripada 6,784 permohonan pemberian taraf kewarganegaraan ditolak atas pelbagai sebab membabitkan 158 operasi dilaksanakan PKK di seluruh negeri sehingga 28 November lalu.

"Antara sebab utama permohonan ditolak kerana pemohon secara sahih bukan warganegara, bukan anak kandung dan bukan lahir di Sarawak. Kawasan Baram di Miri menjadi kawasan paling besar permohonan kewarganegaraan mereka ditolak," katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, daripada sejumlah 6,784 permohonan diterima kerajaan negeri, sebanyak 4,586 permohonan adalah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran.

"Panel PKK bersama Jawatankuasa Teknikal membuat keputusan meluluskan 4,586 permohonan berkenaan untuk disemak dan dipertimbang bagi proses mengeluarkan kad pengenalan. Kerajaan negeri melahirkan penghargaan kepada PKK kerana amat berhati-hati dalam menerima permohonan kewarganegaraan," katanya.

82 dibaca
Berita Harian X