Isnin, 18 Disember 2017 | 1:51pm

Maxis mahu perluas khidmat jalur lebar 4G

KUCHING: Maxis Communications berhasrat memperluaskan rangkaian perkhidmatan jalur lebar 4G kendaliannya ke kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negeri dalam usaha mendokong pelaksanaan Dasar Ekonomi Digital yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Ketua Wilayah Maxis Communications Sarawak, Alexius Bong, berkata kadar liputan sudah menembusi 86 peratus populasi penduduk ketika ini, malah usaha sedang giat dilaksanakan bagi membawa perkhidmatan itu ke kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Jika anda memandu dari Kuching ke Spaoh, Debak dan Betong, kesemua pekan kecil ini sudah memiliki liputan jalur lebar 4G kendalian Maxis Communications. Kita bersikap optimis dan yakin perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Ini penting bagi mendokong pelan transformasi dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dalam membawa negeri ini menuju ke era digital, dengan pelbagai manfaat bakal dinikmati rakyat bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Mesra Maxis Communications Wilayah Sarawak Bersama Media 2017 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Selain Spaoh, Debak dan Betong, kawasan luar bandar lain yang sudah memiliki liputan jalur lebar itu ialah Siburan, Bau, Lundu, Sematan, Bintangor, Kanowit, Julau, Samalaju, Tatau, Limbang, Lawas, Mukah, Kapit, Saratok, dan Sarikei.

Alexius menjelaskan pihaknya mensasarkan pekan kecil terbabit kerana syarikat telekomunikasi itu komited dalam usaha menyediakan akses lebih baik kepada orang ramai, termasuk masyarakat pedalaman dan luar bandar, terhadap internet.

"Malah, pengubahsuaian turut dilakukan terhadap produk dikeluarkan, termasuk Pelan MaxisONE dan sejak minggu lepas kami telah meningkatkan kepada 10 GB data kepada semua Pelan MaxisONE dan tiada lagi hari biasa dan hujung minggu kerana semua menjadi satu pelan," katanya.

Bermula awal tahun ini juga, syarikat terbabit turut melancarkan pakej jalur lebar, MaxisONE Home Fibre, yang menyediakan kelajuan sehingga 100 megabit sesaat (Mbps) di Sabah dan Sarawak.

"Kita berterima kasih kepada pengamal media di Sarawak yang sentiasa memberi sokongan terhadap pelbagai inisiatif dilaksanakan Maxis Communications, terutama dalam membantu menjayakan Dasar Ekonomi Digital diperkenalkan kerajaan negeri," katanya. 

11 dibaca
Berita Harian X