Isnin, 18 Disember 2017 | 12:00pm
KETUA Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian. - Foto Asrol Awang

MPK tambah baik kemudahan

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan meningkatkan kemudahan di Terminal Sentral Kuantan dan Pasar Besar Kuantan, bagi keselesaan orang ramai dan peniaga.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian, berkata pihaknya sudah mengenal pasti kekurangan di dua tempat terbabit dan sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sebelum ini, kita sudah melakukan tinjauan bersama-sama Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh dan beliau meminta semua dinding bangunan di Terminal Sentral Kuantan dicat semula bagi mengembalikan keceriaan.

"Bagi kerja naik taraf gerai makanan di Pasar Besar Kuantan pula, MPK sudah mengemuka permohonan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan peruntukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Izad Zainal berkata, pihaknya juga mengalu-alukan pandangan dan cadangan orang ramai, terutamanya warga Kuantan, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan MPK.

Berita Harian X