Isnin, 18 Disember 2017 | 12:08am
KETUA UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid hadir merasmikan Majlis Malam Sanjung Budi anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia Blok Bandar Cawangan Indera Mahkota. - Foto Nurul Nadira Shaari

AIM Indera Mahkota tetapkan 5 KPI

KUANTAN: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menetapkan lima petunjuk prestasi utama (KPI) perlu dicapai oleh cawangan AIM Blok Bandar Cawangan Indera Mahkota, di sini untuk memastikan kejayaan diperoleh semua pesertanya.

Ketua Pegawai Operasi (Zon Tengah) AIM, Faizal Noor Laiman berkata, agensi itu mensasarkan 4,000 sahabat AIM di Blok Bandar cawangan Indera Mahkota mendaftar dengan agensi itu menjelang pertengahan tahun hadapan.

"Setakat ini, kita sudah ada seramai 2,300 sahabat AIM berdaftar. Kita harap lebih ramai yang akan tampil mendaftar menjadi sahabat AIM bagi mencapai sasaran ditetapkan itu.

"Selain itu, KPI kedua ditetapkan agensi ini adalah berkaitan peruntukan RM20 juta yang disediakan untuk dijadikan modal kepada peserta cawangan ini.

"Sehingga November lalu, RM15 juta sudah dimanfaatkan dan masih berbaki RM5 juta," katanya ketika berucap pada Malam Sanjung Budi anjuran AIM Blok Bandar Cawangan Indera Mahkota di sini, sebentar tadi.

Majlis dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.

Faizal berkata, pihaknya turut mensasarkan 100 peratus tahap keupayaan bayaran balik pinjaman dalam kalangan sahabat AIM di cawangan berkenaan.

Katanya, KPI keempat ditetapkan pula membabitkan urus tadbir yang baik dan AIM Blok Bandar Cawangan Indera Mahkota sehingga kini membuktikan berada dalam prestasi yang sangat memuaskan.

"KPI terakhir adalah bagi memastikan sahabat AIM di cawangan ini berjaya keluar daripada garis kemiskinan dan tidak kembali terjerumus kepada permasalahan itu," katanya.

Sementara itu, Mustaffar Kamal berharap, sahabat AIM di Indera Mahkota dapat memanfaatkan pembiayaan disediakan agensi terbabit untuk menceburi bidang perniagaan.

"Saya berharap sahabat AIM di Indera Mahkota ini terus bertambah supaya sasaran 4,000 sahabat (AIM) dapat dicapai. Pembiayaan sudah disediakan, jadi diharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan diri dan keluarga," katanya.

183 dibaca
Berita Harian X