Ahad, 17 Disember 2017 | 5:04pm
DATUK Wan Mohd Wan Ibrahim.- Foto fail NSTP

88 pusat tahfiz belum berdaftar

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 88 daripada 130 pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini belum berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim, berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri sukar untuk menyalurkan bantuan pentadbiran dan pengurusan kepada pihak terbabit, mengikut bilangan pelajar.

Katanya, MAIDAM menyalurkan bantuan pentadbiran dan pengurusan sebanyak RM40,000 setahun kepada pusat tahfiz dan sekolah pondok yang mempunyai 40 hingga 80 pelajar, RM60,000 ( 81 - 120 pelajar), RM80,000 (121 - 160), RM100,000 (161 - 200) dan pusat tahfiz yang memiliki pelajar melebihi 200 orang, akan dibayar bantuan mengikut kesesuaian.

"Setakat ini, hanya 42 pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar dengan MAIDAM di seluruh negeri menerima bantuan pentadbiran serta pengurusan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Mengulas mengenai bantuan peralatan keselamatan kebakaran di pusat tahfiz dan sekolah pondok berdaftar seperti pembentangan Bajet 2018 diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Isnin lalu, Wan Mohd berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM126,000 untuk tujuan itu.

Selain itu, untuk bayaran pengurusan jenazah oleh jurumandi dan pembantunya, Wan Mohd berkata, setiap jurumandi dibayar sebanyak RM100 dan pembantu menerima bayaran sebanyak RM50 bagi setiap jenazah. 

Katanya, sehingga kini, terdapat seramai 234 orang jurumandi dan 163 pembantu bertugas menguruskan jenazah di seluruh negeri. 

"Berdasarkan tuntutan dikemukakan jurumandi dan pembantu, ada antara mereka memperolehi pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

"Tetapi, tidak ramai terutamanya belia yang berminat menceburi bidang pengurusan jenazah walaupun JHEAT menganjurkan lebih 20 kursus pengurusan jenazah setahun," katanya.

Wan Mohd berkata, peranan jurumandi dan pembantunya tidak dilupai oleh kerajaan negeri apabila Ahmad Razif mengumumkan peruntukan sebanyak RM452,000 untuk bantuan `one off' sebanyak RM500 seorang, tahun depan.

Berita Harian X