Sabtu, 16 Disember 2017 | 1:43pm
PENERIMA sumbangan deposit SSPN-i bergambar bersama Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) di Dewan SMK Dang Anum, Merlimau. - Foto Amir Mamat

400 murid terima sumbangan SSPN-i

JASIN: Seramai 400 murid Tahun Satu di Parlimen Jasin menjadi kumpulan pertama di negeri ini menerima sumbangan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM100 setiap seorang.

Daripada jumlah itu, RM50 disumbangkan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, manakala selebihnya sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahmad berkata, pihaknya menyediakan peruntukan khas berjumlah RM20,000 sebagai modal permulaan untuk murid berkenaan membuka akaun SSPN-i.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, ia sebagai galakan kepada golongan itu untuk menambah simpanan masing-masing, di samping persediaan mereka melangkah ke menara gading nanti.

"Saya berterima kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas pembentangan Bajet 2018 yang memberikan insentif kepada ibu bapa yang membuat simpanan sebanyak RM500 pada tahun depan, akan diberikan deposit percuma sebagai tambahan berjumlah RM500.

"Menerusinya, membuka peluang seluas-luasnya kepada golongan muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa dibebani dengan masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan SSPN-i berkenaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Dr Azam Ahmad.

Sementara itu, Mastura berkata, PTPTN memperuntukkan RM25 juta kepada murid Tahun Satu di sekolah bantuan penuh kerajaan dalam bentuk Geran Sepadan.

"Sehingga 31 Oktober lalu, kira-kira 10.94 peratus murid berusia tujuh tahun sudah menerima simpanan percuma itu, termasuk 1,921 orang atau 14.22 peratus murid di Melaka.

"Kami percaya sejak skim ini diperkenalkan pada 2004, ia berjaya memberi kesedaran terhadap kepentingan menabung dalam SSPN-i dan bilangan mereka yang membuka akaun terbabit juga meningkat setiap tahun," katanya.

Berita Harian X