Rabu, 13 Disember 2017 | 12:18pm
MOHD Zohdi (kiri) bertukar dokumen bersama Sheikh Zakaria pada Majlis Menandatangani MoU bagi melantik ejen kutipan cukai taksiran dan kutipan zakat di Dewan Persidangan, Majlis Bandaraya Alor Setar, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kerjasama LZNK, PBT sasar kutipan zakat RM300j

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan kutipan zakat keseluruhan RM300 juta bagi tahun depan, susulan kerjasama dijalinkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman, berkata sasaran itu realistik berikutan kerjasama itu dijangka menyumbang peningkatan hampir 100 peratus berbanding kutipan sekarang iaitu RM165 juta.

"Melalui kerjasama dengan PBT ini, ia membolehkan orang ramai yang ingin membayar cukai pintu atau urusan PBT untuk melunaskan sekali zakat di kaunter mereka.

"Kita akan melatih kakitangan PBT untuk membimbing orang ramai mengenai kiraan bagi bayaran zakat.

"Selain memudahkan urusan pembayaran zakat, ia juga menjimatkan tenaga kerja," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Sheikh Zakaria mewakili LZNK menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Datuk Bandar, Datuk Mohd Zohdi Saad, mewakili Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi melantik ejen kutipan cukai taksiran dan kutipan zakat.

Melalui MoU itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan MBAS boleh membayar zakat, begitu juga sebaliknya di kaunter masing-masing.

Pada masa sama, Sheikh Zakaria berkata, kerjasama dengan MBAS yang bermula awal tahun depan ini adalah projek perintis sebelum ia diperluaskan kepada semua PBT di seluruh Kedah.

"Buat permulaan kita menjalankan dulu projek perintis bersama MBAS dan kita jangkakan akan meluaskan kerjasama ini kepada semua PBT menjelang pertengahan tahun hadapan," katanya.

Berita Harian X