Selasa, 12 Disember 2017 | 8:26pm
TIMBALAN Presiden Kelab Putra 1Malaysia (KP1M), Datuk Mohd Farid Hassan (tiga dari kanan) bersama Ketua Penerangan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (kanan) dan Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat (tiga dari kanan) mengagihkan barangan keperluan sekolah kepada sebahagian 1,100 murid Parlimen Pasir Mas pada Program Happy To School anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Hamid 2. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

1,100 murid terima bantuan kembali ke sekolah

PASIR MAS: Seramai 1,100 murid di kawasan Parlimen Pasir Mas menerima bantuan persekolahan bagi membantu meringankan beban, menjelang musim persekolahan tahun depan.

Bantuan menerusi Program Happy To School anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) itu akan diselaraskan ke 73 parlimen di seluruh negara.

Ketua Penerangan KP1M, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata usaha yang diteruskan itu adalah mandat diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Pengerusi KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim agar dapat menggerakkan bantuan kepada anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Katanya, selain itu program berkenaan turut menggalakkan anak-anak yang masih bersekolah supaya sentiasa berada dalam keadaan gembira setiap kali tiba musim persekolahan baharu.

"Hari ini sumbangan diteruskan di Pasir Mas yang menjadikan parlimen ke sembilan di negeri ini menerima bantuan kelengkapan persekolahan kanak-kanak selepas beberapa kawasan di Ketereh dan Jeli.

"Kita akan terus menjelajah ke Parlimen lain bagi melengkapkan jumlah 73 Parlimen secara keseluruhannya sehingga awal bulan Januari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Hamid 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan dan Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, pihaknya memperuntukkan lebih 1,000 bantuan berbentuk kelengkapan sekolah di Kelantan.

"Di Kelantan mungkin ada lebih permintaan di Parlimen tertentu dan kita akan menyerahkan bantuan terbabit secara berperingkat," katanya.

Berita Harian X