Isnin, 11 Disember 2017 | 4:13pm
PELAJAR Terbaik Keseluruhan, Muhammad Sabri Zahari, 16 menunjukkan sijil penyertaan Hafazan yang diterimanya pada Program Ihtifal Tahfiz Ar-Razi di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
AHLI Dewan Undangan Dun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail (dua dari kanan) bersama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Nor Azlina Omar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian 48 penerima sijil penyertaan Hafazan pada Program Ihtifal Tahfiz Ar-Razi di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

SMK Geting lahirkan penghafaz al-Quran

TUMPAT: Hasrat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting untuk melahirkan pelajar penghafaz al-Quran akhirnya dapat direalisasikan dengan mewujudkan kelas tahfiz.

Program yang bermula Mac lalu dengan dinamakan Tahfiz Ar-Razi itu kini melahirkan 48 pelajar yang tinggal di asrama sebagai penghafaz al-Quran.

Pengetuanya, Noor Azlina Omar, berkata pelajar yang mengikuti kelas tahfiz itu terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Lima yang sudah khatam al-Quran.

"Kita menganjurkan program ini untuk pelajar yang tinggal di asrama bagi mereka memberikan tumpuan khusus kepada aktiviti menghafaz al-Quran.

"Jika sebelum ini hanya 100 pelajar yang tinggal di asrama, namun sejak kewujudan kelas tahfiz ini bilangan pelajar semakin bertambah dan kami juga menyediakan kelas membaca al-Quran kepada pelajar yang belum khatam," katanya kepada pemberita selepas prgram Ihtifal Tahfiz Ar-Razi di sini, hari ini.

Noor Azlina berkata, sesi menghafaz al-Quran diadakan setiap hari selepas solat Maghrib dengan bantuan tenaga pengajar yang terlatih di surau asrama.


AHLI Dewan Undangan Dun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail (dua kiri) bersama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Nor Azlina Omar (tengah) menyampaikan sijil penyertaan Hafazan pada sebahagian 48 pelajar Program Ihtifal Tahfiz Ar-Razi di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Dalam tempoh sembilan bulan pembukaan kelas tahfiz itu, setiap pelajar mampu menghafaz sekurang-kurang dua hingga enam surah dan pencapaian itu amat menggalakkan," katanya.

Program berkenaan mendapat kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail yang menyumbangkan dana sebanyak RM10,000 untuk menggerakkan program terbabit.

Sementara itu, Mat Razi berkata, sumbangan peribadinya itu digunakan untuk membayar elaun lima tenaga pengajar, makan dan minum pelajar serta sedikit kelengkapan yang diperlukan.

"Program ini amat berjaya dan saya berhasrat untuk memperkenalkannya di sekolah rendah dalam DUN ini, namun belum diputuskan bila dan sekolah mana yang terpilih.

"Banyak perkara yang perlu dibincangkan kerana ia membabitkan kewangan dan tidak ramai tenaga pengajar yang ingin bekerja secara sukarela," katanya.

Berita Harian X