Isnin, 11 Disember 2017 | 2:29pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman membentangkan Bajet Terengganu 2018 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Bajet Terengganu 2018, bajet untuk rakyat

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri membentangkan bajet defisit sebanyak 10 peratus, bagi tahun ketiga berturut-turut, pada pembentangan Bajet Terengganu 2018 hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sebanyak RM1.996 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, berbanding anggaran hasil sebanyak RM1.825 bilion.

Beliau berkata, bajet bertemakan 'Masa Hadapan Yang Lestari' itu juga mencadangkan peruntukan RM823.43 juta bagi pembangunan dan RM3.77 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

"Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM94.6 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan, manakala RM1.901 bilion untuk perbelanjaan bekalan," katanya ketika membentangkan Bajet Terengganu 2018 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, bajet negeri kali ini menyeluruh membabitkan bayi, kanak-kanak, pelajar universiti, warga emas dan ibu bapa serta memberi fokus semua perkara termasuk peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan.

"Bajet kali ini memberi keutamaan kepada keperluan dan kemudahan untuk rakyat, mengurangkan bebanan dan menyumbang ke arah kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengumumkan bayaran khas one-off RM1,500 kepada 1,260 imam dan bilal masjid mukim serta 66 imam dan mubaligh (lantikan pejabat agama) membabitkan kos keseluruhan RM1.99 juta.

"RM1,000 akan dibayar pada Januari 2018 dan RM500 lagi menjelang Aidilfitri. Selain itu RM1,500 juga diberi kepada 1,701 guru pintar al-Quran dengan peruntukan RM2.55 juta.

"Kita turut menghargai perkhidmatan awam dan memberi bonus RM1,500 kepada penjawat awam negeri dengan RM1,000 dibayar pada 1 Januari depan, manakala RM500 lagi menjelang Aidilfitri.

"Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM198,500 untuk memberi bantuan one-off RM500 seorang kepada 234 jurumandi dan 163 pembantu jurumandi jenazah," katanya.

Bagi mengurangkan beban dan usaha menangani peningkatan kos sara hidup, kerajaan negeri memperkenalkan Program Membantu Rakyat (PMR), yang memperuntukkan RM2.64 juta untuk 3,666 ketua isu rumah (KIR) tersenarai dalam e-Kasih.

"KIR ini akan diberi kad keahlian dan mendapat subsidi bagi setiap pembelian barangan keperluan asas di T-Mart dan kedai terpilih setiap bulan," katanya.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan bekalan air percuma untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu sebulan dan memperuntukkan RM6.3 juta yang dijangka memanfaatkan sehingga 100,000 kediaman.

"Untuk kecemerlangan pendidikan pula, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan RM5 juta dengan RM2 juta daripada kerajaan negeri, manakala RM3 juta sumbangan syarikat berkaitan kerajaan.

"Sebanyak RM126,000 pula akan disumbangkan kepada pusat tahfiz berdaftar di Terengganu, selain mewujudkan Kad Generasi Terengganu (Kad Gen-T) yang memberi keistimewaan kepada 40,000 mahasiswa untuk mendapat potongan harga apabila membuat pembelian atau menggunakan perkhidmatan terpilih," katanya.

Untuk pembangunan bidang sukan, Ahmad Razif berkata, RM1 juta diperuntukkan untuk Anugerah Kecemerlangan Sukan dan kerajaan negeri bersetuju membina Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri berdekatan Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak dengan kos RM100 juta.

"Bagi memperkasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) sebagai nadi kerajaan di peringkat akar umbi, sejumlah RM5,000 diperuntukkan kepada setiap J3K di negeri ini membabitkan peruntukan RM5.27 juta," katanya.

INFO

- Bayaran one-off RM500 kepada pemandu teksi dan pemandu bas henti-henti

- RM500,000 untuk projek perintis Klinik Bergerak

- RM500,000 untuk pemeriksaan percuma mamogram dan pap smear

- RM2 juta bagi Program Jaya Diri 2018 untuk usahawan wanita

Berita Harian X