Ahad, 10 Disember 2017 | 7:44pm
PELAJAR orang Asli beragama Kristian Daniel Ashraf,13, (dua kiri) dan Dafien Afzan,7, (dua kanan) turut sama dalam Program Berkhatan Perdana peringkat Parlimen Tanjung Malim di Sekolah Kebangsaam Slim River. Turut sama Ibubapa mereka Azri dan Noor. - Foto Rosman Shamsudin

2 beradik Kristian sertai program berkhatan

SLIM RIVER: Tiga kali keinginan untuk berkhatan tidak berjaya kerana masalah obesiti, seorang remaja Orang Asli akhirnya dikhatankan hari ini secara beramai-ramai sempena Program Khatan Perdana peringkat Parlimen Tanjung Malim.

Walaupun beragama Kristian, ia tidak menghalang Daniel Asraf Azri, 13, bersama adiknya, Dafien Afzan, 7, untuk berkhatan bagi tujuan menjaga kebersihan diri.

Daniel berkata, sebelum ini sudah tiga kali dia ingin berkhatan di klinik namun dinasihatkan doktor agar menangguhkan hasrat itu kerana masalah berat badan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim River itu berkata, selepas berjaya menurunkan berat badan kira-kira 10 kilogram dia bersama adiknya ditemani bapa Azri Satun, 37, serta ibu, Noor Dollah, 38, mengambil keputusan untuk dia dan adiknya berkhatan beramai-ramai.

"Saya dan adik berkhatan bertujuan menjaga kebersihan diri dan saya berasa teruja kerana hajat selama ini sudah tercapai.

"Ayah banyak memberi penerangan tentang kebaikan berkhatan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk bersunat dengan rakan yang lain yang beragama Islam dan hari ini menjadi sejarah dalam hidup saya.

"Perasaan gementar itu tetap ada dan jika dahulu saya hanya melihat rakan beragama Islam merasai saat untuk khatan kini saya merasainya sendiri," katanya ketika ditemui hari ini.

Daniel dan Dafien adalah dua daripada 126 peserta Program Khatan Perdana peringkat Parlimen Tanjung Malim yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River, dekat sini.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kurnia itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Intergrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Mah Hang Soon; Pegawai Pendidikan Daerah Muallim, Saipul Bahrin Sulaiman dan Pengerusi JKKK Kampung Kurnia, Shahidon Abd Samad.

Sementara itu, Dafien berkata, dia tidak berasa takut kerana abangnya turut berkhatan bersama selain rakan sekolahnya yang lain.

459 dibaca
Berita Harian X