Ahad, 10 Disember 2017 | 3:03pm
PEMANDANGAN dari udara kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Pontian di Pekan Nanas yang terbakar masih terkawal membabitkan kawasan seluas kira-kira 2.4 hektar, daripada keseluruhan kawasan tapak pelupusan yang dianggarkan kira-kira 10 hektar. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat
PEMANDANGAN dari udara kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Pontian di Pekan Nanas yang terbakar masih terkawal membabitkan kawasan seluas kira-kira 2.4 hektar, daripada keseluruhan kawasan tapak pelupusan yang dianggarkan kira-kira 10 hektar. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Kebakaran tapak pelupusan sampah belum padam

JOHOR BAHRU: Kebakaran tapak pelupusan sampah milik di Pekan Nanas, dekat sini sejak 1 Disember lalu masih belum dipadamkan sepenuhnya dan setakat ini pihak bomba berjaya memadamkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar daripada keseluruhan 2.4 hektar yang terjejas.

Keseluruhan kawasan tapak pelupusan milik Majlis Daerah Pontian (MDP) itu dianggarkan seluas kira-kira 10 hektar.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Md Noor Manap, berkata pihaknya masih meneruskan operasi memadam baki kebakaran di kawasan seluas 1.6 hektar bagi mengelakkan merebak ke kawasan lain.

Katanya, operasi memadam api berkenaan dianggotai 10 anggota bomba, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lapan pekerja SWM Environment Sdn Bhd (SWM).

"Kami akan meneruskan usaha memadam kebakaran berkenaan secara berperingkat," katanya di sini, hari ini.

Sejak 1 Disember lalu, dilaporkan berlaku kebakaran skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah milik MDP di Pekan Nanas, Pontian berpunca daripada pembakaran di tapak pelupusan haram berhampiran sehingga menyebabkan kawasan di sekitar Johor Bahru mengalami jerebu.

Susulan itu, pada Rabu lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan empat kompaun bernilai RM8,000 terhadap SWM Pontian kerana melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah milik MDP di Pekan Nanas.

Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, dilaporkan berkata empat kompaun bernilai RM2,000 setiap satu dikeluarkan ke atas empat sel (kawasan) yang dilakukan pembakaran terbuka.

JAS Johor juga melakukan siasatan susulan sejak 2 Disember lalu dan ketika itu kebakaran masih berulang dan semakin merebak disebabkan pemadaman yang kurang berkesan kerana masih terdapat api di bawah timbunan sampah yang menyebabkan kebakaran kembali berlaku.

Berita Harian X