Ahad, 10 Disember 2017 | 3:00pm
TIMBALAN Pengerusi Biro Majlis Tertinggi dab Daftar Pemilih UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin (dua darikanan) menyampaikan peralatan bag sekolah kepada kanak-kanak sempena majlis 'Happy to School' di SRK Taman Medan, turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian PJ Selatan, Datuk Mutalif Abdul Rahim (tengah). - Foto Yazit Razali

1,000 murid terima bantuan kembali ke sekolah

PETALING JAYA: Hampir 1,000 murid di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan menerima bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa golongan berpendapatan rendah atau B40.

Program Happy To School itu adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) yang menyediakan set kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah serta keperluan alat tulis.

Mereka adalah sebahagian daripada 6,000 murid sekolah rendah di seluruh Selangor yang terpilih mendapat bantuan yang diagihkan sejak awal bulan ini sebagai persiapan menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada 3 Januari tahun depan.

Bantuan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam majlis yang diadakan di SK Taman Medan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Kelab Putra 1Malaysia Selangor, Datuk Abdul Mutalib Abd Rahim; Naib Presiden KP1M, Datuk Farid Hassan dan Penolong Kanan SK Taman Medan, Faridah Mat Zain.

Mohd Sharkar dalam ucapan perasmiannya berkata, program itu adalah sebahagian daripada usaha KP1M untuk membantu golongan berpendapatan rendah berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, sebanyak 73 bahagian parlimen terpilih di seluruh negara terbabit dengan program berkenaan membabitkan hampir 73,000 penerima yang akan menerima bantuan sebelum sesi persekolahan baharu dibuka.

Beliau berkata, setiap kawasan akan membabitkan 1,000 penerima yang dipilih berdasarkan pendapatan ibu bapa di bawah RM4,000 yang dihadkan untuk seorang anak di sekolah rendah.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, enam kawasan Parlimen di Selangor terpilih menerusi program itu dengan bantuan diberikan kepada ibu bapa terbabit berdasarkan kelayakan mengikut pendapatan tanpa mengira fahaman politik.

Berita Harian X