Khamis, 7 Disember 2017 | 3:01pm
PASANGAN, Mazura Hushim, 41 (dua dari kanan) dan isteri, Zabedah Mohd Soin, 34 (kanan sekali) menerima dokumen Projek Bina Rumah Muafakat daripada Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat (dua dari kiri) di pekarangan rumah mereka di Kampung Dato' Syed Nahar, Mukim Kuah, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
WARGA emas, Sofiah Abdullah, 82, (tiga dari kiri) menerima bantuan barangan makanan disampaikan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat (tiga dari kanan) pada program kunjungan prihatin di Kampung Dato' Syed Nahar, Mukim Kuah, Langkawi, - Foto Hamzah Osman

Bantuan PBRM tamatkan sengsara keluarga daif

LANGKAWI: Tiada lebih menggembirakan bagi pasangan suami isteri kurang berkemampuan di Kampung Dato' Syed Nahar di sini, apabila hasrat memiliki kediaman selesa untuk membesarkan empat anak mereka tercapai.

Mazura Hushim, 41, dan isteri, Zabedah Mohd Soin, 34, dianggap bertuah apabila dipilih menerima bantuan rumah baharu lengkap dengan kemudahan asas, menerusi Projek Bina Rumah Muafakat (PBRM) yang bakal dibina secara gotong-royong dengan anggaran kos RM30,000 dalam tempoh terdekat.

Mazura yang juga kakitangan Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port) mengakui rumah baharu yang bakal dibina itu mampu menamatkan kesengsaraan keluarganya selepas lebih lapan tahun hidup dalam kediaman daif yang menunggu masa untuk roboh.

"Sekarang saya dan isteri serta empat anak berusia antara lima dan 16 tahun tinggal di rumah kayu beratap zink yang serba daif, selain sering berhadapan banjir ketika musim hujan, rumah ini juga berisiko tumbang jika dilanda ribut dan hujan lebat.

"Menerusi projek ini, InsyaAllah anak-anak saya boleh menikmati hidup lebih selesa dan dapat menyambut Aidilfitri akan datang di rumah baharu," katanya ketika ditemui selepas menerima dokumen PBRM disampaikan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Isahak berkata, beliau menjangkakan projek pembinaan rumah serba lengkap itu dapat dimulakan kerja tapak pada pertengahan bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

"Ini adalah projek ketiga selepas kejayaan pembinaan rumah menerusi kaedah sama di Kampung Mata Ayer dalam Mukim Ulu Melaka dan Kampung Belanga Pechah bagi Mukim Ayer Hangat.

"Projek ini berkonsepkan gotong-royong dengan sumbangan bahan pembinaan diberikan pelbagai pihak di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), manakala kerja pembinaan diurus dan dipantau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung," katanya.

Beliau berkata, projek ini akan diteruskan dengan sebuah lagi keluarga miskin di Mukim Kedawang.

"Ia sejajar dengan sasaran satu PBRM bagi satu mukim menjelang akhir tahun hadapan.

"Kita yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi komitmen ditunjukkan agensi kerajaan dan swasta yang sentiasa bersedia menghulurkan sumbangan bagi memastikan golongan miskin di pulau ini dapat menikmati hidup lebih sempurna," katanya.

Terdahulu, Ishak turut mengetuai lebih 15 kakitangan Pejabat Daerah Langkawi melakukan kunjungan prihatin sambil menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada enam enam warga emas, ibu tunggal dan miskin di kampung sama.

Berita Harian X