Isnin, 4 Disember 2017 | 6:26pm
ABDUL Hakim (kanan) dan Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan (kiri) menunjukkan risalah kempen pada sidang media Pengumuman Kempen YEZ 2017 di Wisma PPZ Shamelin Perkasa, Cheras hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PPZ-MAIWP tawar hadiah

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menawarkan 100 hadiah menarik untuk cabutan bertuah bagi pembayar zakat sepanjang bulan ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata cabutan bertuah itu akan diberi kepada pembayar zakat yang membayar di kaunter PPZ-MAIWP dan menerusi laman web.

"Cabutan bertuah ini akan dilakukan setiap hari dengan sekali cabutan saja iaitu bermula 1 hingga 29 Disember ini.

"Pada 30 hingga 31 Disember pula, pihak kami akan melakukan 20 cabutan bertuah," katanya pada sidang media di PPZ-MAIWP di sini, hari ini.

Katanya, PPZ- MAIWP juga akan memberikan beberapa cenderahati lain dalam kempen 'Year End Zakat' (YEZ) berkenaan.

"Pihak kami tidak saja memberi cenderahati kepada pembayar zakat, malah ibu bapa yang membawa anak mereka ketika membuat pembayaran turut diberikan cenderahati kepada kanak-kanak terbabit.

"Ini bertujuan mendidik anak memahami kewajipan menunaikan zakat," katanya.

Abdul Hakim berkata, 11 kaunter PPZ-MAIWP dibuka tujuh hari sepanjang bulan ini termasuk cuti umum.

Katanya, ia adalah antara langkah menggalakkan pembayar zakat menunaikan kewajipan sebelum berakhirnya bulan ini.

"Semua kaunter akan beroperasi bermula jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang, manakala pada 26 hingga 31 Disember pula, waktu beroperasi adalah jam 8.15 pagi hingga 8 malam," katanya.

Berita Harian X