Ahad, 3 Disember 2017 | 3:11pm
AHLI Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada Program Ceria ke Sekolah anjuran Komuniti 1Malaysia Kampung Paya di Kampung Bharu, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Pelajar ​​miskin ​terpilih Ceria Ke Sekolah

KUALA LUMPUR: Seramai ​260​ pelajar ​miskin di Parlimen Titiwangsa terpilih ​menerima sumbangan persekolahan sesi 2018 yang ditaja Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat.

​Bantuan beg sekolah dan baucar bernilai RM100 itu disampaikan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sempena Program Ceria ke Sekolah anjuran Komuniti 1Malaysia Kampung Paya.

Johari yang juga Menteri Kewangan II, berkata program berkenaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat.

Katanya, ini tahun kelima Program Ceria ke Sekolah diadakan di Parlimen Titiwangsa bagi membantu persekolahan golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

"Wakil penduduk akan mengenal pasti keluarga yang memiliki anak bersekolah dari usia tujuh tahun hingga 16 tahun yang layak.

"Senarai nama dan maklumat keluarga berkenaan kemudian disalurkan kepada Bank Rakyat untuk sumbangan.

"Ia bukan sahaja inisiatif kecemerlangan tetapi juga sebagai mesej kesedaran bahawa pentingnya pendidikan dalam mengubah taraf hidup masyarakat," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan di Kampung Bharu, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Abdul Rahman Kasim dan Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Paya, Ismail Sahat.

Seorang penerima sumbangan, Nur Farizah Soib, 44, berkata bantuan berkenaan diterima selepas wakil penduduk menghantar borang bantuan untuk diisi bagi keluarga berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

"Memandangkan hanya suami yang bekerja dan dua anak masih bersekolah, bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga," katanya.

Berita Harian X