Sabtu, 2 Disember 2017 | 3:08pm
ZALUZI memandikan peserta khatan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem hari ini.- Foto NSTP
ZALUZI (kedua dari kanan) bersama Ismail memberi semangat pada seorang kanak-kanak yang akan berkhatan hari ini.- Foto NSTP

Tak tidur lena kerana nak bersunat

KOTA BHARU: Tidak tidur lena dan rasa gerun, antara perasaan yang dilalui oleh Ahmad Shahbandi Sofian ketika menunggu detik berkhatan yang diadakan secara beramai-ramai.

Ahmad Shahbandi, 10 murid dari Sekolah Kebangsaan Sri Chempaka, berkata bapanya, Sofian Abdul Ghani, 51 memberi kata-kata semangat membuat dirinya lebih yakin untuk berkhatan.

"Saya bersemangat untuk bersunat walaupun gerun, tetapi apabila melihat rakan sebaya tidak menangis malah menunjukkan tanda bagus, saya jadi yakin.

"Saya suka solat jemaah mengikut ayah di masjid, jadi ayah kata mudah untuk saya jadi imam sekali-sekala," katanya.

Rakannya, Muhammad Syabil Mohd Syahrizan, 10, dari Kampung Pengkalan Datu, berkata, dia terpaksa menyertai khatan itu kerana bimbang diejek rakan sebaya lain.

"Saya memang takut, tetapi wajib bersunat. Namun disebabkan ayah sudi temankan, saya beranikan diri," katanya.

Mereka adalah antara 350 kanak-kanak yang menyertai Proram Khatan Perdana anjuran UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Program bermula jam 8 pagi membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun anjuran bersama Pasukan Gerakan Am (PGA).

Kanak-kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air yang disediakan pasukan bomba dan penyelamat sambil disaksikan lebih 200 tetamu sebelum dikhatan.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, berkata seramai 25 pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa mengendalikan Khatan Perdana itu yang diberikan secara percuma.

"Aktiviti khatan ini adalah acara tahunan UMNO Pengkalan Chepa yang prihatin terhadap ibu bapa kurang berkemampuan kerana khatan di klinik terlalu mahal antara RM150 himgga RM200 seorang.

"Antara kanak-kanak menyertai acara itu ialah anak anggota beruniform selain penjawat awam yang diberi peluang menyertai acara tahunan ini," katanya selepas merasmikan program terbabit di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem, di sini.

99 dibaca
Berita Harian X