Jumaat, 1 Disember 2017 | 10:12am
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) menyertai perarakan sempena majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor Tahun 1439H/2017M di Masjid Jamek Bandar Kluang. - Foto MOHD Azren Jamaludin
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengaminkan doa sempena majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor Tahun 1439H/2017M di Masjid Jamek Bandar Kluang. - Foto MOHD Azren Jamaludin

5,000 sertai perarakan Maulidur Rasul di Kluang

KLUANG: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri, di sini.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Kira-kira 5,000 umat Islam termasuk 77 kontinjen jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat di sekitar daerah ini menyertai perarakan sempena hari kelahiran Rasulullah.

Perarakan jam 8 pagi sejauh dua kilometer itu, bermula di Bangunan Arked MARA dan berakhir di Masjid Jamek Bandar Kluang.

Sambutan dimulakan dengan selawat nabi, bacaan ayat suci al-Quran selain syarahan agama bertajuk 'Kasih Nabi Membawa ke Syurga' yang disampaikan Kadi Daerah Kluang, Mohd Taufik Shamsudin.

Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan anugerah kepada semua pemenang perarakan termasuk Anugerah Kontinjen Jabatan Kerajaan Terbaik yang dimenangi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dengan hadiah wang tunai RM1,000, piala serta sijil.

SAJ Ranhill Sdn Bhd pula memenangi Kategori Kontinjen Swasta dan NGO manakala Pejabat Kesihatan Kluang dan Masjid Jamek Kampung Tengah, masing-masing memenangi Kategori Sepanduk Terbaik Jabatan Kerajaan serta Swasta dan NGO Terbaik.

Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) pula memenangi Kategori Kontinjen Paling Ramai dengan menghantar seramai 250 anggotanya.

Berita Harian X