Khamis, 30 November 2017 | 4:11pm
PEMBANTU Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Sairin Karno menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pidato sempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa SPRM Peringkat Negeri Sabah dengan diperhatikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi (kanan) di Padang Bandaran Keningau. - Foto Francis Andin

SPRM Sabah daftar 7,200 ahli GERAH

KENINGAU: Seramai 7,200 ahli sudah didaftarkan sebagai sahabat program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sejak dilancarkan, Mei lalu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata ahli GERAH terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat itu berperanan membantu suruhanjaya itu menjayakan pelbagai program dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Katanya, ahli GERAH bukan sahaja menjadi anggota sukarelawan kepada program dilaksanakan SPRM, malah berperanan sebagai 'mata dan telinga' kepada agensi itu selain memberi maklumat kepada masyarakat akar umbi berhubung kesedaran untuk berjihad memerangi rasuah dan menyemai tanggungjawab serta integriti.

"SPRM mendapat kerjasama baik daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini yang menyokong usaha kita memerangi rasuah.

"Ini dapat dilihat menerusi program jelajah yang memberi penerangan terhadap usaha membanteras rasuah, selain sambutan menggalakkan dalam program GERAH yang sehingga kini mendaftar lebih 7,200 ahli," katanya selepas perasmian Hari Anti-Rasuah Antarabangsa SPRM Peringkat Negeri Sabah di Padang Bandaran Keningau, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Sairin Karno serta dihadiri Pegawai Daerah Keningau, Yusop Othman dan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila.

Terdahulu, Sairin dalam ucapannya berkata, sesuai dengan tema sambutan majlis itu 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah', sewajarnya semua pihak harus bergading bahu membantu kerajaan, khususnya SPRM dalam memerangi gejala rasuah yang menjejaskan masa depan negara.

Katanya, usaha SPRM yang menyebarluaskan komitmen dan penjelasan kepada masyarakat berhubung usaha membanteras rasuah adalah langkah wajar, termasuk menerapkan ilmu pengetahuan kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara.

"Kita yakin pembabitan generasi pelajar dalam pertandingan pidato, mewarna kanak-kanak bertemakan perangi gejala rasuah amat sesuai supaya penerapan ilmu pengetahuan disebar luas sejak peringkat sekolah untuk impak masa depan negara bebas rasuah," katanya.

Berita Harian X