Khamis, 30 November 2017 | 11:42am
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, berkenan menyempurnakan gimik perasmian CIMB Mozek dan bersama Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak (tiga dari kiri) ketika majlis Perasmian CIMB Mozek di SMK Taman Scientex, Pasir Gudang.- Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Permaisuri Johor lancar CIMB MOZEK

PASIR GUDANG: CIMB Group Holdings Bhdmemperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi pelancaran CIMB MOZEK, program perkhemahan musim cuti sekolah yang bertujuan memupuk kepelbagaian dan keterangkuman budaya.

Program yang dilaksanakan menerusi Yayasan CIMB dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM) itu disempurnakan perasmiannya oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almahum Sultan Idris Shah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; Pengarah Pendidikan negeri, Shaharuddin Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin.

Permaisuri Johor bertitah, setiap anak perlu diberikan didikan yang baik sejak kecil dan bukan sekadar memberi fokus kepada akademik sahaja.

"Didikan yang baik dalam akademik dan nilai-nilai murni adalah acuan terbaik untuk masa depan mereka.

"Kejayaan ini akan turut menjadi kejayaan buat negara di masa depan," titahnya.

Baginda bertitah setiap individu perlu mempelajari perbezaan kaum untuk mengekalkan keharmonian sedia ada.

Sementara itu, Nazir dalam ucapannya, berkata program CIMB MOZEK bertujuan untuk memupuk integrasi dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan murid sekolah.

"CIMB Mozek adalah inisiatif yang menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman budaya yang terdapat dalam negara ini.

"Bagi menjayakan matlamat program ini, peserta terbabit terdiri daripada murid dan pelajar yang berbilang latar belakang," katanya.

SMK Taman Scientex adalah sekolah perintis bagi program CIMB MOZEK yang diadakan dari 26 November hingga 14 Disember ini, yang membabitkan 543 pelajar dan 59 guru.

14 dibaca
Berita Harian X