Selasa, 28 November 2017 | 6:28pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron membentangkan Bajet Melaka 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Seri Negeri, Ayer keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Pembangkang sokong bajet

AYER KEROH: Bajet 2018 yang dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, semalam disifatkan oleh pembangkang sebagai yang terbaik, berbanding sebelum ini.

Banyak insentif yang diumumkan akan membantu rakyat berpendapatan rendah, sekali gus mampu mengurangkan bebanan hidup mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru dari PAS, Dr Md Khalid Kassim, menyambut baik beberapa perkara asas yang disediakan untuk rakyat, terutama berkaitan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara perlu ditambah baik untuk memastikan kehidupan rakyat sentiasa selesa dan sejahtera.

"Saya menyambut baik kewujudan Hospital Kluster yang membabitkan Hospital Melaka, Alor Gajah dan Jasin kerana ia mampu untuk memaksimumkan kemudahan sedia dan mengoptimumkan kepakaran perubatan dan kejururawatan.

"Dengan tersedianya Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Alor Gajah dan 'High Dependency Unit' di Hospital Jasin, waris pesakit mudah untuk menziarahi.

"Sudah tiba masanya rakyat Melaka menikmati perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti dan selamat," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-13 di sini, hari ini.

ADUN Bebas dari Duyong, Goh Leong San, pula menyifatkan bajet kali ini lebih baik, berbanding sebelumnya kerana agihan manfaatnya dinyatakan dengan lebih terperinci, manakala kebaikannya pula disalurkan terus kepada rakyat.

"Bagaimanapun kita akan mengemukakan beberapa lagi cadangan supaya bajet kali ini dapat dinikmati oleh rakyat yang lebih memerlukan untuk jangka masa panjang," katanya.

Berita Harian X