Isnin, 27 November 2017 | 5:39pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron membentangkan Bajet Melaka 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Seri Negeri, Ayer keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Bajet Melaka agih insentif semua lapisan rakyat

AYER KEROH: Pembayaran bonus RM2,000 kepada lebih 4,000 penjawat awam di Melaka, antara 14 insentif yang disediakan kerajaan kepada rakyat negeri ini, tahun depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, ketika membentangkan Bajet Melaka 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembayaran bonus berjumlah RM1,000 akan dibuat pada awal tahun depan, manakala baki selebihnya menjelang Aidilfitri dan perayaan mengikut kaum.

"Ia (bonus) sebagai pengiktirafan kepada penjawat awam negeri di atas khidmat bakti mereka mendokong kemajuan dan melaksana sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat selama ini," katanya.

Insentif lain yang diumumkan Idris pada pembentangan bajet bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Melestari Pembangunan Demi Kesejahteraan Rakyat' itu adalah penyediaan pelan pembaikan rumah secara besar-besaran untuk rakyat yang kurang berkemampuan.

Selain itu, insentif RM250 kepada setiap anggota tentera kelahiran Melaka yang berhenti tidak berpencen, pembayaran one-off RM300 setiap seorang kepada 3,512 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas dan masih berkhidmat serta pembayaran one-off RM300 kepada 1,400 nelayan berdaftar yang terjejas akibat projek tambakan laut.

Turut disediakan, bantuan 10,000 unit cermin mata jenis rabun jauh kepada warga emas yang kurang berkemampuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), insentif RM500 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi memasuki universiti awam.

Ganjaran RM100 turut diberikan kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala tambahan RM150 lagi kepada murid cemerlang dari keluarga berpendapatan B40 ke bawah.

Sumbangan one-off RM500 disediakan kepada 345 guru, termasuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang bakal bersara bagi tempoh Januari hingga Disember tahun depan, selain sumbangan RM500 kepada bakal jemaah haji berusia 60 tahun ke atas dan tidak berpencen yang pertama kali menunaikan ibadah itu serta menaikkan sumbangan pembukaan akaun Tabung Pendidikan Skim Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) daripada RM20 kepada RM50, bermula kelahiran tahun 2018.

Kerajaan negeri juga akan menyumbang one-off RM300 kepada ibu tunggal berusia 69 tahun ke atas dan tidak berpencen serta mempunyai anak tidak bekerja tetap dan berada dalam kumpulan B40.

Pembayaran itu akan dibuat menjelang musim perayaan bermula Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali diikuti sambutan Krismas pada tahun depan.

Turut menerima sumbangan one-off RM300 adalah bekas pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Pembantu Awam Gred H11/14 yang sudah berkhidmat lebih 25 tahun, berusia 70 tahun ke atas dan tidak berpencen, manakala bantuan one-off RM500 pula kepada 65 pesakit berusia di bawah 30 tahun yang terlantar lebih setahun akibat kemalangan dan sudah berkeluarga.

74 dibaca
Berita Harian X