Sabtu, 25 November 2017 | 8:49am
PEGAWAI Daerah Langkawi, Isahak Murat. - Foto Hamzah Osman

Langkawi kini sifar golongan miskin tegar

LANGKAWI: Seramai 46 keluarga miskin tegar yang sebelum ini berdaftar dalam program eKasih kini memperoleh pendapatan lebih RM450 sebulan sekali gus menjadikan daerah ini mencapai sifar miskin tegar tahun ini.

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, berkata kejayaan meningkatkan pendapatan golongan terbabit kepada miskin relatif itu adalah hasil usaha berterusan secara holistik pelbagai pihak sejak dua tahun lalu.

Isahak berkata, antara usaha yang dilakukan bagi membantu keluarga miskin tegar yang produktif itu termasuk mencari peluang perniagaan atau pekerjaan, menganjurkan kursus motivasi selain program santun kasih secara berterusan.

Katanya, berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isirumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan berpendapatan kurang dari RM430 bagi semenanjung Malaysia, RM540 bagi Sabah dan RM520 Sarawak sebulan.

"Langkawi pernah memiliki seramai 46 keluarga miskin tegar yang berdaftar dalam program eKasih dua tahun lalu, namun angka itu berubah menjadi sifar apabila nama mereka kini disenaraikan sebagai golongan miskin relatif.

"Ini adalah hasil usaha berterusan Kumpulan Fokus dan penyaluran bantuan kewangan, siri latihan kemahiran kepada golongan sasar dan program turun padang oleh wakil rakyat yang turut disertai agensi kerajaan.

"Kita pernah menganjurkan latihan terapi spa dan masakan bakeri di kediaman penduduk, malah bantuan kewangan dan peralatan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan turut disalurkan menerusi agensi berkaitan.

"Usaha ini mendapat sambutan baik dan kita amat berbangga kerana berjaya mengeluarkan isi rumah golongan sasar terbabit daripada dari belenggu kemiskinan dan seterusnya menikmati hidup yang lebih sempurna," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan pelbagai pihak turut berjaya membina dua rumah secara muafakat kepada dua keluarga miskin tegar di Kampung Bayas dan Belanga Pechah, manakala rumah ketiga dirancangkan pada awal tahun hadapan.

Berita Harian X