Khamis, 23 November 2017 | 1:50pm
KERAJAAN negeri setuju untuk memansuhkan kos perkhidmatan empat peratus bagi peminjam baharu dan peminjam yang dijadualkan mula membayar balik pinjaman pada tahun depan. - Foto hiasan

Pinjaman pendidikan Johor tanpa caj, faedah

ISKANDAR PUTERI: Mulai tahun depan, semua pinjaman pengajian tinggi tidak akan dikenakan caj dan faedah termasuk yang disediakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan negeri setuju untuk memansuhkan kos perkhidmatan empat peratus bagi peminjam baharu dan peminjam yang dijadualkan mula membayar balik pinjaman pada tahun depan.

"Pemberian pinjaman itu dikenali sebagai 'qard hassan' dalam sistem kewangan Islam. Hingga kini, YPJ sudah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan kepada Skim Pinjaman Pelajaran YPJ termasuk pemberian pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam yang berjaya mendapat Diploma dan ljazah Sarjana Muda Kelas Pertama," katanya di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, YPJ juga akan memperuntukkan RM20.35 juta bagi pinjaman pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Jumlah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,290 mahasiswa dan akan disalurkan melalui antaranya Biasiswa Sultan Ibrahim kepada lima pelajar cemerlang Johor yang menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat ljazah Sarjana dan Doktor Falsafah serta Biasiswa Sukan Atlet Johor," katanya.

"Satu skim pinjaman baharu berjumlah RM500,000 akan diperkenalkan khusus untuk membiayai 20 pelajar cemerlang Johor yang ditawarkan tempat pengajian di mana-mana universiti antarabangsa swasta yang terletak dalam EduCity di Iskandar Malaysia.

"Johor adalah antara negeri yang memiliki banyak universiti serta institusi pengajian tinggi antarabangsa serta menawarkan pelbagai program pengajian dan kerajaan negeri tidak akan membiarkan anak-anak Johor sekadar menjadi pemerhati kepada semua ini," katanya.

63 dibaca
Berita Harian X