Rabu, 22 November 2017 | 2:26pm
DATUK Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz (dua dari kanan), Pegawai Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd,(dua dari kiri) memegang buku bajet DBKL 2018 bersama Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Mustafa Mohd Nor dan Pengarah Eksekutif Pembangunan SosioEkonomi, Datuk Ibrahim Yusoff (kanan) pada Pembentangan Bajet DBKL 2018 di Menara DBKL, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Kadar cukai taksiran di KL kekal

KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta di kawasan pentadbirannya tahun depan.

Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata DBKL turut mengekalkan insentif kepada pembayar cukai taksiran golongan kurang upaya sebanyak 20 peratus sebagaimana tahun sebelum ini.

Membentangkan Bajet DBKL 2018 di sini, hari ini, beliau berkata sebanyak RM2.91 bilion diperuntukkan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus bertemakan 'Kemajuan dan Kesejahteraan Untuk Warga Kota'.

Beliau berkata Bajet DBKL 2018 memperlihatkan peruntukan pembangunan meningkat sebanyak 0.26 peratus atau RM3.02 juta berbanding RM1.14 bilion pada 2017.

"Daripada peruntukan itu, 60 peratus iaitu RM1.76 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan 40 peratus lagi iaitu RM1.15 bilion bagi pembangunan.

"Antaranya, sebanyak RM263.2 juta bagi menguruskan 3,000 tan metrik sisa domestik sehari, sebahagian besarnya untuk bayaran kontrak pembersihan bandar sebanyak RM155 juta.

"Selain itu, sebanyak RM147.9 juta untuk membaiki dan penyelenggara rumah-rumah pangsa serta RM102.7 juta untuk pembinaan Perumahan Awam Council Home," katanya di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Dalam pada itu, beliau turut merayu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya membayar cukai taksiran secara konsisten serta penjaja membayar sewa kerana hasil pulangan sewaan perumahan amat rendah iaitu RM61 juta berbanding hasil pelaburan sebanyak RM230 juta.

"Cabaran utama DBKL dalam mengutip hasil adalah menangani tunggakan cukai taksiran dan sewaan perumahan akibat kegagalan warga kota menjelaskan cukai taksiran dan sewaan," katanya.

Sementara itu, Mhd Amin, berkata anggaran hasil 2018 meningkat kepada RM2.67 bilion berbanding RM2.46 bilion dalam tahun 2017 iaitu peningkatan 7.7 peratus.

"Hasil cukai taksiran berjumlah RM1.11 bilion adalah hasil utama DBKL di mana menyumbang sebanyak 41.4 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL.

"Sehingga kini sebanyak 568,178 akaun direkodkan adalah terdiri daripada bangunan pejabat, rumah kediaman, hotel dan premis perniagaan di Kuala Lumpur.

"Hasil kedua terbesar adalah pulangan keuntungan pelupusan aset sebanyak RM632.8 juta atau 23.7 peratus ," katanya.

Sepintas Bajet DBKL 2018

1. RM73.7 juta peruntukan untuk program hijau dan penyelenggaran taman awam, padang, tanah lapang serta taman permainan.

2. RM137.2 juta peruntukan bagi penyelenggaraan jalan cerun, sungai, longkang dan lorong-lorong.

3. RM402.3 juta peruntukkan membabitkan 79 projek pembangunan untuk dilaksanakan iaitu pembiayaan terbesar DBKL.

4. RM80.5 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan, sewaan peralatan pusat pengurusan pengangkutan bersepadu, penyelenggaraan bonggol, papan tanda jalam serta lalu lintas termasuk bil elektrik.

5. RM100.4 juta peruntukan bagi pembinaan tempat letak kenderaan di 14 lokasi perumahan awam dan PPR.

6. RM12.6 juta untuk program sukan, kebudayaan dan muzik termasuk penyelenggaraan stadium, kompleks renang dan kolam renang.

7. RM7.8 juta peruntukan untuk projek naik taraf Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Stadium Titiwangsa, gelanggang futsal dan padang bola.

163 dibaca
Berita Harian X