Selasa, 21 November 2017 | 5:13pm
AZIZ Mohd Gorip. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Batu megalit ribuan tahun dipindahkan

SEREMBAN: Sebahagian daripada 3,500 batu megalit berusia antara 200 hingga lebih 3,000 tahun yang ditemui di sekitar daerah Kuala Pilah akan dipindahkan ke Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas di Port Dickson.

Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip, berkata langkah itu akan dilaksanakan bagi membolehkan peninggalan arkeologi bersejarah itu dijaga dengan lebih baik.

"Tapak batu megalit yang mempunyai nilai sejarah tinggi ini sebenarnya berada dalam keadaan berselerak di Kuala Pilah, terutama di kawasan Terachi dengan sebahagiannya berada di atas tanah milik individu.

"Berikutan itu, sebahagian batu itu tidak terjaga, malah ada yang tumbang dan rosak. Justeru, kita merancang memindahkan sebahagian daripadanya dan ketika ini sudah mendapat persetujuan beberapa pihak termasuk pemilik tanah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Batu Megalit 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Johani Hassan, yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan, merasmikan seminar berkenaan.

Terdapat 300 tapak batu megalit atau lebih dikenali sebagai 'Batu Hidup' di Negeri Sembilan dengan 70 daripadanya terletak di Kuala Pilah dan antara isu membelenggu tapak arkeologi itu ialah keadaan sebahagian daripadanya yang terbiar.

Sementara itu, Johani berkata, resolusi seminar terbabit antara lain mencadangkan penubuhan Pusat Konservasi Megalit di Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas, Port Dickson.

"Cadangan ini turut membolehkan kompleks sejarah itu mempunyai tarikan sejarah yang unik dan menarik, sekali gus mampu menjadi produk pelancongan yang berdaya saing di negeri ini.

"Kita akan memperhalusi cadangan itu di peringkat kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan terutama melalui Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Muzium Malaysia," katanya.

Berita Harian X