Selasa, 21 November 2017 | 4:00pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din (enam dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman (empat kanan) bergambar bersama wakil syarikat korporat yang hadir di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan Balik bersama Syarikat Korporat yang hadir serta Majlis Menandatangani Perjanjian Di Antara Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Kedah di TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

LZNK peruntukkan RM800,000 bangunkan Kompleks Pondok Moden

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM800,000 bagi tujuan pembangunan Kompleks Pendidikan Pondok Moden yang akan memulakan operasinya tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, berkata kompleks terbabit akan dibangunkan di premis milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Che Bema di Sungai Petani, dekat sini.

Mengulas lanjut, katanya buat permulaan pihaknya akan menawarkan sebanyak 40 tempat untuk diisi oleh pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf bagi mengikut pendidikan di situ.

"Kita menggunakan peruntukan fisabilillah daripada bajet pendidikan bagi pembangunan kompleks pendidikan ini.

"Buat permulaan kita akan mengambil seramai 40 pelajar di peringkat sekolah menengah dan kita sedang mengiklankan untuk kemasukan pelajar ke situ.

"Kita fokus kepada golongan asnaf dengan kos pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh LZNK " katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM1.1 juta dan agihan balik kira-kira RM1.6 juta zakat sama yang membabitkan 23 syarikat korporat.

Turut diadakan pada majlis itu ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman antara LZNK yang diwakili Zakaria dan Yayasan Dewan Perniagaan Melayu Kedah diwakili Yang Dipertuanya, Zuhaizar Abdul Karim.

Pada masa sama, Zakaria berkata LZNK mengeluarkan peruntukan besar bagi pembangunan pendidikan di negeri ini kerana melalui bidang itulah golongan asnaf mampu keluar dari kelompok kemiskinan mereka.

Selain itu, katanya LZNK juga akan memulakan operasi Pusat Agihan Makanan di Sik dan Baling tahun depan dengan kos sebanyak RM2 juta.

Melalui pusat itu, LZNK akan menggunakan platform masjid sebagai lokasi agihan makanan kepada asnaf dengan imam sendiri akan memainkan peranan mengenal pasti golongan sasar.

Sementara itu, Zakaria berkata kutipan zakat sepanjang tahun ini hingga semalam adalah kira-kira RM136 juta dengan agihan membabitkan kira-kira RM142 juta.

Berita Harian X