Isnin, 20 November 2017 | 3:45pm
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (P.S.I. I) kepada Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim di Istana Besar, Johor Bahru. - Foto ihsan ROYAL PRESS OFFICE

Sultan Johor kurnia pingat kepada anakanda

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (PSI I) kepada anakanda Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini.

Menurut Facebook (FB) rasmi Sultan Johor, penganugerahan pingat itu sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor yang berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar di sini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Tun Aminah serta suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.Hadir sama, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli serta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis itu, Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Daing Malik Daing Rahaman menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Datuk Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ).

Seramai 14 orang menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) manakala 60 orang penerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (PSI II) dan 21 orang penerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga (PSI III).

Berita Harian X