Selasa, 14 November 2017 | 1:45pm
GAMBAR hiasan.

Baikpulih segera sekolah daif

PETRA JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan di Lundu, Kuching dilaporkan berdepan ancaman pencerobohan orang luar, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka yang tinggi di asrama sekolah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu, berkata masalah itu disebabkan keadaan pagar sekolah berkenaan yang semakin usang, dengan ada sebahagiannya didapati sudah roboh.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, orang luar bebas keluar masuk dalam premis sekolah berkenaan, terutama dalam kalangan pekerja kebun dan ladang yang terdapat di belakang SMK Sematan.

"Ini tentunya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka, terutama yang tinggal di asrama, apabila orang luar mula menceroboh persekitaran sekolah," katanya melalui ucapan perbahasan Bajet Negeri 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Justeru, beliau meminta pihak berkaitan, khususnya Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak memberi perhatian serius terhadap pemasalahan itu, termasuk mengambil tindakan segera bagi membaikpulih pagar sekolah berkenaan.

"Bertindak segera sebelum terlambat.... sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat dan bebas dari sebarang ancaman keselamatan, selain memiliki suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif," katanya.

Jamilah ketika mengulas lanjut, berkata banyak kekurangan di sekolah berkenaan, terutama dari segi penyediaan kemudahan berkaitan berkaitan, termasuk makmal sains untuk keperluan guru dan pelajar.

"Hasil pemeriksaan kita turut mendapati wujud keperluan mendesak untuk proses pendawaian semula dilakukan di SMK Sematan bagi mengelak sebarang risiko keselamatan, termasuk kebakaran," katanya.

Selain SMK Sematan, sebuah lagi sekolah dalam kawasan diwakilinya iaitu SMK Lundu turut memerlukan bangunan baharu untuk kelas Pendidikan Khas bagi menempatkan 70 pelajar yang keperluannya bersifat amat mendesak.

"SMK Lundu juga memerlukan sebuah perpustakaan baharu dan kerja-kerja pendawaian semula," katanya sambil memaklumkan dari keseluruhan 415 sekolah daif kritikal di negeri ini, tujuh daripadanya terletak di kawasan DUN Tanjung Datu.

Katanya, sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Melano, SK Pueh, SK Pugu, SK Rambungan, SK Stunggang Melayu, SK Stunggang Temelan dan SK Seba, yang amat diperlukan penduduk setempat bagi kemudahan pembelajaran anak-anak mereka.

"Kita bersimpati terhadap anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan yang serba kekurangan, namun saya percaya mereka serta guru-guru mempunyai motivasi serta impian untuk mencapai kejayaan.

"Sekolah berkenaan bukan sahaja memerlukan baik pulih terhadap bilik darjah, malah kuarters guru juga sangat perlu dibaikpulih atau dalam keadaan tertentu perlu pembinaan semula," katanya.

 

16 dibaca
Berita Harian X