Isnin, 13 November 2017 | 1:09pm
PESERTA MANTAP menunjukkan salinan kenyataan media berkenaan misi sukarelawan banjir di Pulau Pinang di sini hari ini - foto ihsan MANTAP

Pelajar bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 sukarelawan Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) UMNO dan Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) akan berkampung di Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir.

Jurucakap Sekretariat Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) Sesi 7, Mohd Fadzli Naim, berkata, ia termasuk membersihkan kawasan yang dilanda banjir dan menyerahkan bantuan kepada keluarga mangsa.

"Daripada 300 sukarelawan itu, 100 daripadanya ialah peserta MANTAP dan selebihnya sukarelawan daripada Biro IPTS UMNO," katanya dalam kenyataan.

Fadzli berkata, program ini lanjutan kepada pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan sejak negeri itu dilanda bah.

Beliau berkata, tindakan segera Kerajaan Persekutuan dibantu agensi berkaitan dalam misi bantuan kemanusiaan dan perubatan sewaktu banjir di Pulau Pinang sebelum ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.

Usaha itu, katanya bukti budaya politik matang apabila membabitkan soal kemanusiaan dan rakyat.

"Tanpa mengira latar belakang politik, pelbagai bantuan kemanusiaan dan perubatan diagihkan ke segenap kawasan terjejas, membabitkan usaha sama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

"Misi kemanusiaan dijalankan tidak kira ketika bah atau pasca banjir, bukti keprihatinan kerajaan yang sama sekali tidak mengambil kira latar belakang politik bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Beliau berkata, bantuan daripada kerajaan dan NGO dapat meringankan beban ditanggung mereka.

"Kita juga berharap pihak yang lebih berkemampuan digalakkan untuk membantu mangsa banjir tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik," katanya.

Berita Harian X