Jumaat, 10 November 2017 | 8:04am
Mangsa banjir di tempatkan di Pusat Pemindahan sementara di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru. - Foto ihsan APM

23 mangsa banjir di JB ditempatkan di pusat pemindahan sementara

bhjb@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Seramai 23 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Laut Batu 10, dekat sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan Batu 10, dekat sini, jam 9 malam tadi.

Katanya, mangsa yang dipindahkan itu membabitkan tujuh lelaki dewasa, enam wanita dewasa, lapan kanak-kanak dan dua bayi.

"Bagaimanapun, sebuah pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Blok 18, Kampung Paya Kenangan, Kangkar Tebrau di sini, yang dibuka bagi menempatkan tujuh mangsa banjir sudah ditutup pada jam 9.40 malam tadi," katanya.

Mangsa banjir di tempatkan di Pusat Pemindahan sementara di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru. - Foto ihsan APM

Terdahulu, hujan lebat lebih sejam sejak jam bermula 3.30 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini termasuk empat perkampungan mengalami banjir kilat.

Antara kawasan terjejas membabitkan Kampung Maju Jaya, Kampung Laut Skudai, Jalan Skudai (berhampiran Skudai Parade), Kampung Paya Kenangan dan Kampung Kangkar Tebrau.

Berita Harian X