Khamis, 9 November 2017 | 6:10pm
BANJIR kilat di Johor Bahru membabitkan Kampung Maju Jaya, Kampung Laut Skudai, Jalan Skudai (berhampiran Skudai Parade), Kampung Paya Kenangan dan Kampung Kangkar Tebrau - Foto Ihsan APM.
BANJIR kilat di sekitar Johor Bahru kira-kira 3.30 petang tadi - Foto APM

Mangsa banjir meningkat

JOHOR BAHRU: Seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Laut Batu 10, dekat sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan Batu 10, dekat sini, jam 9 malam tadi.

Katanya, mangsa yang dipindahkan itu membabitkan empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

"Bagaimanapun, sebuah pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Blok 18, Kampung Paya Kenangan, Kangkar Tebrau di sini, yang dibuka bagi menempatkan tujuh mangsa banjir sudah ditutup pada jam 9.40 malam tadi," katanya.

Terdahulu, hujan lebat lebih sejam sejak jam bermula 3.30 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini termasuk empat perkampungan mengalami banjir kilat.

Antara kawasan terjejas membabitkan Kampung Maju Jaya, Kampung Laut Skudai, Jalan Skudai (berhampiran Skudai Parade), Kampung Paya Kenangan dan Kampung Kangkar Tebrau.

20 dibaca
Berita Harian X