Rabu, 8 November 2017 | 4:04pm
DR Tengku Muhammad Fa-iz Petra mencemar dulu menerima zakat peniagaan Kumpulan PNB yang sampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman. - Foto Syamsi Suhaimi

PNB serah zakat RM11.8 juta kepada MAIK

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini, menerima zakat perniagaan daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM11.8 juta.

Zakat itu disampaikan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, kepada Pemangku Raja Kelantan merangkap Yang Dipertua (YDP) MAIK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, di Istana Kota Lama di sini.

Abdul Rahman berkata, pembayaran zakat oleh PNB itu merangkumi 852,000 pelabur Islam di Kelantan.

"Jumlah pelaburan mereka adalah sebanyak RM9.2 bilion dan Kelantan mencatatkan negeri kelapan paling ramai melabur.

"Kami anggarkan daripada jumlah pelaburan itu, sebanyak 48 peratus rakyat Kelantan dapat menerima zakat ini," katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

Beliau mengharapkan tanggungjawab membayar zakat ini dapat diteruskan untuk tahun akan datang sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat membuat pelaburan.

Sementara itu, Timbalan YDP MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata setakat ini tabung zakat MAIK sudah mencecah RM141 juta dan pihaknya menyasar sebanyak RM175 juta dikutip menjelang akhir tahun ini.

"Daripada keseluruhan peruntukan itu kita sudah membelanjakan sebanyak RM138 juta di mana 70 peratus diagihkan kepada golongan asnaf manakala selebihnya kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian sama ada dalam dan luar negara.

"Kepada pelajar yang juga anak golongan asnaf terbabit, sebanyak RM1,700 diberikan bagi yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan RM2,500 untuk ijazah sarjana muda," katanya.

Berita Harian X