Isnin, 6 November 2017 | 9:45am
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto Effendy Rashid

Pelepasan air empangan di Perak, palsu

IPOH: Tiada pelepasan air secara berlebihan dibuat di mana-mana empangan janakuasa hidro Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Perak seperti yang menjadi viral di media sosial sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata semakan dengan pengurusan TNB Stesen Janakuasa Sungai Perak memaklumkan pelepasan air dijalankan secara normal dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

"Paras air empangan masih jauh untuk mencapai paras bahaya.

"Pihak TNB Sungai Perak juga mengesyorkan supaya tidak menyebarkan dakwaan berkaitan pelepasan air yang berlebihan kerana ia tidak benar.

"Ia nanti hanya akan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan viral dalam media sosial terutama WhatsApp meminta penduduk di daerah Perak Tengah khususnya yang tinggal berhampiran Sungai Perak, berhati-hati dalam tempoh 24 jam ini kerana air berlebihan di Empangan Chenderoh sudah dilepaskan malam tadi.

Zainol Fadzi berkata, pihak TNB juga sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan tertentu untuk memberi maklumat, pemberitahuan dan bekerjasama dengan semua pihak, sekiranya pelepasan air berlebihan dari empangan janakuasa hidro mahu dilakukan.

Berita Harian X