Ahad, 5 November 2017 | 3:22pm
KEADAAN banjir kilat yang berlaku di Balai Berita, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Prai. - Foto Rosli Ahmad

Kilang percetakan NSTP antara dinaiki air

BUTTERWORTH: Hujan lebat serta ribut yang melanda seluruh Pulau Pinang sejak malam tadi, menyebabkan kilang percetakan milik The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Perai, di sini, dinaiki air.

Difahamkan, air mulai meningkat mencecah paras 0.4 meter sejak jam 9 malam tadi, sehingga menjejaskan laluan utama ke premis berkenaan.

Pengurus Kilang Percetakan NSTP Perai, Cham Nan A/L Yan, mengesahkan premis berkenaan dilanda banjir, namun ia tidak menjejaskan operasi kilang.

"Saya dimaklumkan paras air mulai naik kira-kira jam 9 malam selepas dipercayai longkang di kawasan premis gagal menampung jumlah air yang banyak dan bertakung di kawasan lapang di hadapan premis sehingga menjejaskan laluan masuk.

"Bagaimanapun, operasi percetakan lebih 80,000 naskhah akhbar membabitkan ketiga-tiga terbitan di bawah NSTP iaitu Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times berjalan seperti biasa," katanya.

Sementara itu tinjauan di sekitar kilang mendapati sehingga jam 12.30 tengah hari ini air masih memenuhi ruang lapang di hadapan premis dengan kenderaan terpaksa diletakkan di luar pagar.

Turut kelihatan beberapa pokok di dalam kawasan premis yang tumbang, selain di luar pagar susulan angin kencang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam tadi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah serta angin kencang di Pulau Pinang, serta daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Di sekitar Perai sahaja beberapa kawasan menerima kesan teruk termasuk menjejaskan kira-kira 500 penduduk di Kampung Setol dan Kampung Jawa, di sini.

Selain itu beberapa laluan utama termasuk di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di Seberang Jaya dan Jalan Baharu di Seberang Perai, di sini, terhalang.

Untuk daerah Seberang Perai Tengah sahaja, sehingga jam 12 tengah hari tadi seramai 1,125 mangsa dipindahkan dengan 22 pusat pemindahan dibuka.

Kawasan terbabit termasuklah Taman Siakap, Taman Senangin, Taman Kempar/Kampung Main Road, Permatang Rawa, LLB Jalan Jelawat, Padang lalang, Jalan Baru, Jalan Tanah Liat, Kampung Telok, Sungai Rambai, Mukim 20 Kubang Semang, Bukit Teh, Kampung Jawa, Kampung Setul dan Kampung Manis.

Berita Harian X