Jumaat, 3 November 2017 | 11:31am
DATUK Mahfar Ali menyiram air mawar di pusara ibunya, Allahyarham Sarah Abd Karim, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
DATUK Mahfar Ali bersama ahli keluarga mengaminkan doa ketika majlis pengebumian jenazah ibunya, Allahyarham Sarah Abd Karim, di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Ibu bekas Pengarang Kumpulan BH dikebumi

JOHOR BAHRU: Jenazah ibu kepada bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, Sarah Abd Karim, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini, jam 10.15 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham, 83, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, petang semalam, akibat sakit jantung disolatkan di rumahnya di Stulang Baru di sini.

Pengebumian turut dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Turut menziarah, Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, isteri Mahfar, Datin Zaiton Abd Malek, 49, berkata pihaknya bersyukur proses menguruskan jenazah dan urusan pengebumian berjalan dengan lancar.

Katanya, Allahyarham mula mendapatkan rawatan di hospital akibat sakit jantung sejak bulan lalu dan sudah tiga kali mendapatkan rawatan di HSA.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu menguruskan jenazah dan mendoakan ke atas Allahyarham," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan dengan pusara bapa Mahfar, Allahyarham Ali Abdullah yang meninggal dunia dua tahun lalu di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini.

Allahyarham mempunyai 12 anak, 40 cucu dan 28 cicit.

30 dibaca
Berita Harian X