Isnin, 30 Oktober 2017 | 2:58pm
DATUK Dr Zubir Harun (empat kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad (tengah) bersama peserta dan pengusahawan yang penyumbang kepada Tabung Kelab Sahabat Usahawan Kecemerlangan Ekonomi Kuala Terengganu (KSUKEKT) di Program Himpunan Usahawan Ikhtiar Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Imran Makhzan

AIM buka peluang kepada golongan muda

KUALA TERENGGANU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuka 50,000 peluang kepada wanita generasi muda untuk mendapatkan pinjaman daripada badan berkenaan.

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr Zubir Harun, berkata peluang yang akan dibuka sehingga Disember tahun depan itu akan memberi keutamaan kepada golongan muda daripada keluarga miskin.

"Buat masa ini kita sudah mempunyai 326,000 sahabat AIM, dengan peruntukan berbentuk geran yang diluluskan Perdana Menteri ketika perbentangan bajet sebanyak RM200 juta, kita akan mempertingkatkan jumlah sahabat AIM kepada 400,000 orang.

"Jadi, untuk merealisasikan hasrat kerajaan membantu golongan miskin berkecimpung dalam dunia perniagaan, kami membuka peluang ini kepada wanita yang tergolong dalam generasi Y," katanya kepada media selepas Program Himpunan Usahawan Ikhtiar Terengganu, di Gong Badak, di sini.

Hadir sama merasmikan majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, Nawi Mohamad.

Dr Zubir berkata, pada tahun ini AIM juga memperuntukan sebanyak RM1 juta membantu golongan miskin untuk tempoh enam bulan dengan memberi bantuan berbentuk barangan keperluan bernilai RM200.

"Untuk transformasikan keluarga miskin kepada usahawan bukan satu perkara mudah namun kami berbangga kerana kadar bayaran balik pinjaman sehingga Ogos lalu adalah 98.22 peratus daripada RM1.8 bilion pembiayaan yang diberikan.

"Kami berharap usaha ini dapat dijalankan secara berterusan dan Alhamdulillah, sudah ramai sahabat kita berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dengan memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 dan ke atas," katanya.

319 dibaca
Berita Harian X