Ahad, 29 Oktober 2017 | 5:09pm
ABDUL Rahman Dahlan (dua dari kiri) melawat gerai-gerai ketika hadir bagi merasmikan Tamu Besar Kota Belud, di Tapak Tamu Mingguan Kota Belud. - Foto Edmund Samunting

Sabah terima peruntukan terbanyak

KOTA BELUD: Sabah negeri yang menerima peruntukan pembangunan terbanyak berbanding negeri lain, iaitu sehingga mencecah RM4.533 bilion menerusi Bajet 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata peruntukan sebesar itu disalurkan sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri yang mahu Sabah terus membangun, selari dengan kemajuan negeri lain.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak sentiasa memastikan aspek pembangunan dan nasib rakyat di luar bandar seperti di Kota Belud terus terjamin bukan sahaja dalam aspek penambahbaikan jalan, malah sehingga pembinaan infrastruktur yang gah.

"Untuk pembangunan Sabah, selain RM2 billion untuk meneruskan perlaksanaan projek Pan Borneo, RM1bilion akan dibelanjakan untuk membaik pulih sekolah daif, RM1bilion lagi bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar.

"Ada lagi, di Sabah dan Sarawak sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan untuk projek jalan luar bandar, begitu juga RM300 juta untuk bekalan air bersih," katanya ketika berucap merasmikan Tamu Besar Kota Belud di tapak tamu mingguan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremy Malajad dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abd Gari Itam.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata kerajaan percaya perbelanjaan yang diumumkan itu akan memangkin ekonomi serta memberi nikmat kesejahteraan kepada penduduk Sabah.

"Ini dibuktikan dengan kadar kemiskinan negeri yang mencecah 2.9 peratus sahaja pada tahun 2016 dan saiz ekonomi berkembang sehingga RM73 billion berbanding hanya RM400 juta pada tahun 1963," katanya.

Dalam konteks Kota Belud, beliau berkata, limpahan ekonomi negeri membolehkan daerah ini merasai pelbagai nikmat pembangunan.

"Tidak lama lagi, masyarakat Kota Belud akan menikmati pembangunan 900 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal siap dengan kos RM180 juta dan 100 unit PPR di Pulau Mantanani. Kemudian, Kota Belud mempunyai sebuah dataran serba indah untuk aktiviti kemasyarakatan dengan kos RM5 juta.

"Banyak lagi yang akan dilaksanakan seperti projek Bekalan Air Luar bandar termasuk pemasangan paip dan loji baharu dengan nilai RM104 juta untuk menambah baik prasarana air," katanya.

Berita Harian X