Isnin, 23 Oktober 2017 | 1:27pm
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) hadir pada majlis pembukaan SDL di Plaza Tol Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Jajaran SDL kurangkan kesesakan

KUALA LUMPUR: Pembukaan jajaran baharu Sri Damansara Link (SDL) di Lebuh Raya Duta Ulu Klang (DUKE) sepanjang 7.4 kilometer (km) dijangka memanfaatkan lebih 30,000 pengguna.

Membabitkan kos keseluruhan RM1.183 bilion, jajaran yang akan dibuka sepenuhnya bermula jam 12.01 tengah malam ini melengkapkan Lebuh Raya DUKE Fasa Dua yang dibina sejak Disember 2014.

Sebelum ini, jajaran Tun Razak Link (TRL) sepanjang sembilan km dibuka secara berperingkat sejak 28 September lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata jajaran dari Persimpangan Bertingkat Manjalara ke Persimpangan Bertingkat Segambut itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Segambut dan Jalan Kuching.

"SDL menyediakan laluan alternatif untuk ke pusat bandar dari penempatan di sekitar Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Rawang dan Kepong.

"Lebuh Raya DUKE Fasa Dua ini dapat mengurangkan tempoh perjalanan masuk dan keluar dari pusat bandar raya.

"SDL juga akan menambah baik baik sistem penyuraian trafik di sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala.

"Pada masa sama, pihak konsesi turut menaik taraf jalan di bawah jajaran lebuh raya ini dari empat lorong kepada enam lorong yang diharap membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, seterusnya memanfaatkan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan SDL di Plaza Tol Segambut, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh; Pengarah Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI), Tan Sri Lim Kang Hoo; Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Keng Cheng dan Pengarah Projek Lebuh Raya DUKE Fasa Dua, Zakaria Shaffie.

Fadilah berkata, Jajaran SDL turut dilengkapi perhentian rehat dan rawat Segambut (SEGAR) yang merangkumi Park & Ride, plaza tol dan lot komersial.

"Kemudahan ini diharap dapat memaksimumkan penggunaan tanah di kawasan sekitar.

"SEGAR turut menyediakan 311 tempat letak kenderaan, empat lot khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan 38 lot parkir motosikal.

"Pada masa akan datang, SEGAR bakal dilengkapi stesen KTM komuter yang masih dalam pembinaan. Apabila siap kelak, stesen ini akan menjadi integrasi penuh antara lebuh raya dan sistem pengangkutan awam," katanya.

Sempena pembukaan jajaran SDL, pihak konsesi KESTURI menawarkan tol percuma kepada pengguna di Plaza Tol Segambut selama sebulan sehingga 22 November ini.

Kutipan tol hanya akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 23 November ini.

INFO

Projek pembangunan Lebuh Raya DUKE Fasa 2

* Dilancar pada Disember 2014

* Kos - RM1.183 bilion

* Jajaran sejauh sembilan km dibuka secara berperingkat 23 Mei lalu dan sepenuhnya pada 28 September lalu.

* Jajaran SDL sejauh 7.4 km mula dibuka pada 23 Oktober.

* Dilengkapi kemudahan rehat dan rawat Segambut (SEGAR) merangkumi plaza tol, parkir dan ruang komersial.

Berita Harian X