Jumaat, 20 Oktober 2017 | 6:42pm
SAHARUDIN Jais (kiri) menunjukkan kesan pembedahan barah otak di kepala anaknya, Faranadhirah Saharudin,17, kepada Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat, Hamidi Mad Tap.

Remaja tangguh SPM kerana barah otak

BATU PAHAT: Seorang remaja terpaksa menangguhkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas disahkan ada dua ketumbuhan yang setiap satunya sebesar enam sentimeter (cm) di otaknya sejak Jun lalu.

Nur Faranadhirah Saharudin, 17, baharu sahaja menjalani pembedahan membuang dua ketumbuhan yang setiap satunya sebesar telur ayam Julai lalu dan kini sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Nur Faranadhirah atau mesra dengan panggilan Angah perlu menjalani satu lagi pembedahan November ini bagi membuang baki ketumbuhan di bahagian antara otak kiri dan kanannya.

Bapanya, Saharudin Jais, 48, berkata pada mulanya keluarga tidak mengesyaki apa-apa walaupun anaknya itu sering sakit kepala sejak sebelum Ramadan lalu.

"Sakit kepala Angah semakin buruk sehingga bahunya akan terangkat setiap kali menahan sakit. Bimbang dengan keadaannya, kami membawa Angah ke pusat perubatan Islam, namun dia disahkan tidak mengalami sebarang masalah atau penyakit misteri.

"Namun apabila adiknya memaklumkan Angah terpaksa dipegang serta dipapah rakan di sekolahnya akibat mata kanannya sudah tidak dapat melihat menyebabkan saya membawanya ke hospital. Pakar menjalankan ujian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan menemui ketumbuhan barah sebesar dua biji telur ayam di antara otak kanan dan kirinya," katanya kepada BH.

Terdahulu Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat diketuai pengerusinya, Hamidi Mad Tap melawat remaja itu di rumah keluarganya di Taman Banang Jaya, dekat sini dan menghulurkan bantuan wang tunai selain barang keperluan harian.

Sementara itu, Nur Faranadhirah berkata, dia bertekad untuk mengambil SPM tahun hadapan selepas diberi cuti sakit sejak Julai hingga Disember ini.

Katanya, beliau juga perlu menjalani rawatan susulan termasuk radioterapi dan kimoterapi di HSI sebelum baki ketumbuhan barahnya dibuang November ini.

"Selepas pembedahan, mata kiri saya tidak dapat melihat dan doktor menyarankan saya bertemu pakar mata di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang bagi merawat mata.

"Walaupun diuji dengan sakit barah otak, saya tetap bertekad menghabiskan pengajian dan mengambil SPM tahun hadapan, " katanya.

216 dibaca
Berita Harian X