Selasa, 17 Oktober 2017 | 4:01pm
JENTOLAK digunakan untuk meroboh rumah setinggan berhampiran Jalan Lintas Utara, di Batu 3, Sandakan. - Foto oleh Juzaimie Jazlan.

774 rumah setinggan diroboh

SANDAKAN: Sebanyak 774 rumah setinggan di tiga kampung sekitar bandar ini dirobohkan dalam tempoh sebulan menerusi Operasi Meroboh Rumah Setinggan yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sejak awal bulan lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 223 rumah setinggan dirobohkan di Kampung Muhibbah, diikuti Kampung Cahaya Baru ( 278 rumah), manakala sebanyak  273 rumah lagi dirobohkan di Kampung Mangkalinau.

Pegawai Penguatkuasa MPS, Irman Tajuddin Edy, berkata tindakan itu dilakukan selepas penghuni setinggan terbabit menerima kunci unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan kepada mereka di Taman Harmoni, di sini.


ANGGOTA penguatkuasa MPS melakukan perobohan rumah setinggan di Kampung Cahaya Baru, Sandakan. - Foto oleh Juzaimie Jazlan

Beliau berkata, jumlah yang dirobohkan itu adalah sebahagian daripada 900 rumah setinggan yang dikenal pasti dalam operasi berkenaan.

"Baki 126 rumah setinggan lagi belum dirobohkan kerana penghuninya masih menunggu kelulusan mendapatkan unit rumah di PPR Taman Harmoni, berhampiran kawasan berkenaan.

"Perobohan akan dilakukan selepas semua penghuninya berpindah ke PPR Taman Harmoni," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, segelintir penghuni setinggan di tiga lokasi berkenaan berdegil enggan mengosongkan kediaman selepas ditawarkan rumah PPR, sekali gus memaksa MPS mengambil tindakan keras meroboh rumah terbabit supaya mereka berpindah.

Katanya, walaupun tiada bantahan daripada penduduk, operasi perobohan berdepan beberapa kesukaran termasuk terpaksa menggunakan bot bagi membawa anggota penguatkuasa dan peralatan meroboh kerana ada rumah terletak di seberang sungai dan kawasan bakau.

Beliau berkata, bagi rumah setinggan yang lain, operasi meroboh dilakukan menggunakan jentera.


ANGGOTA penguatkuasa MPS melakukan perobohan rumah setinggan di Kampung Cahaya Baru, Sandakan. - Foto oleh Juzaimie Jazlan

"Isu penempatan setinggan di ketiga-tiga lokasi sudah lama dan usaha diambil untuk merobohkan kawasan itu selepas bancian Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyenaraikan penduduk yang layak dipindahkan ke PPR, kira-kira dua tahun lalu.

"Operasi meroboh dilaksanakan selepas notis peringatan terakhir kepada penduduk untuk berpindah berakhir pada 8 September lalu," katanya.

Selain anggota penguatkuasa MPS, operasi itu turut dibantu agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X