Ahad, 15 Oktober 2017 | 2:10pm

PERHILITAN tangkap gajah liar

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menangkap dua gajah liar dalam operasi bersepadu di Kampung Pulau Tawar Jerantut, kelmarin.

Operasi membabitkan 20 kakitangan Unit Tangkapan Gajah PERHILITAN negeri dan Unit Tangkapan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah Lanchang, Temerloh.

Pengarahnya Ahmad Azhar Mohamed, berkata operasi bermula 2 Oktober lalu berjaya menangkap seekor gajah betina di kawasan Jengka 8, Jerantut.

Pada 9 Oktober, haiwan terbabit dilepaskan selepas alat pengesan dipasang.

"Haiwan itu dipercayai memusnahkan kebun dan kelapa sawit penduduk pada waktu malam sebelum bersembunyi dalam Hutan Simpan Tekai, Jerantut.

"Aktiviti mengesan dan menangkap kumpulan haiwan itu menjadi lebih mudah dengan adanya kolar yang dipasang pada bahagian leher gajah betina itu.

"Kemudian berjaya menangkap seekor lagi gajah betina di Kampung Batu Leja Pulau Tawar yang bergerak dalam kumpulan lima hingga tujuh ekor.

"Kita percaya haiwan terbabit turut menceroboh beberapa kampung tradisional di kawasan Pulau Tawar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Azhar berkata, siasatan PERHILITAN mendapati ancaman gajah di kawasan Pulau Tawar berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, terdapat kira-kira 20 ekor gajah liar dikesan di kawasan Pulau Tawar sahaja dan kumpulan itu menjadikan hutan simpan Tekai sebagai tempat bersembunyi.

"Ancaman gajah di Pulau Tawar berpunca daripada aktiviti membuka hutan secara berleluasa untuk dijadikan kebun dan ladang kelapa sawit," katanya.

Berita Harian X