Ahad, 8 Oktober 2017 | 3:45pm
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam larian Rail Run 3.0 di Papar. - Foto Rafiqah Dahali
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam larian Rail Run 3.0 di Papar. - Foto Rafiqah Dahali
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam larian Rail Run 3.0 di Papar. - Foto Rafiqah Dahali

DBKK bina pusat kitar semula di Lok Urai

PAPAR: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) giat menyiapkan sebuah pusat kitar semula di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya bagi menangani masalah pencemaran sampah plastik di pulau itu sejak sekian lama.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, berkata pusat itu adalah antara pendekatan DBKK menerusi program dikenali Projek Kasih Sayang di pulau itu sejajar misi membebaskan bandar raya ini daripada masalah sampah.

"Projek di jeti Kampung Lok Urai ini bagi memudahkan penduduk mengumpul bahan kitar semula. Kami juga merancang memasang jaring dan tong sampah khas untuk kumpul sampah terutama plastik yang hanyut di perairan sekitar Pulau Gaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai larian Rail Run 3.0 Papar, di sini, hari ini.

Boon Hai berkata, satu jawatankuasa khas kebersihan turut diwujudkan di Pulau Gaya bagi memantau dan melaksanakan program kebersihan di pulau itu yang dijangka diperluaskan mulai akhir tahun ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kerja Raya, Hadi Kassim; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir dan Pengerusi Event4u, Awangku Mohd Shah Nizam Bahri Ampuan Awang Damit.

Sementara itu, Awangku Mohd Shah selaku penganjur program larian berkenaan, berkata acara itu membabitkan laluan di kawasan landasan kereta api sejauh 10 kilometer yang melintasi Kampung Pengalat, Dambai, Limputong dan Biau.

Katanya, larian berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 600 peserta mengambil bahagian termasuk dari Sarawak, Brunei dan China.

"Program ini bukan saja untuk tujuan kesihatan, malah bagi mempromosi daerah Papar dan kawasan pantai barat Sabah sebagai destinasi pelancongan.

"Antara tarikan utama di kawasan ini ialah perkhidmatan kereta api lama dan baharu yang beroperasi setiap hari dari Kota Kinabalu ke Tenom. Ia hanya ada di kawasan pantai barat Sabah," katanya.

Berita Harian X