Khamis, 5 Oktober 2017 | 3:43pm
NIK Suriani Nik Md Salleh bersama anaknya, Nik Anisa.

Arwah mahu adik jadi hafizah - Ibu

KUALA KRAI: Ibu kepada seorang pelajar sekolah tahfiz yang terkorban bersama-sama enam rakannya dalam tragedi van terbabas, pada 2 Jun lalu, mahu menunaikan hasrat arwah supaya adiknya menjadi hafizah.

Nik Suriani Nik Md Salleh, 40, berkata hasrat Nik Ahmad Daniel Nik Ahmed Rithaudden, 14, yang mahu adiknya, Nik Anisa Dayana, 2, menjadi hafizah sempat dinyatakan sebelum anak sulungnya itu menemui ajal.

"Saya akan menghantar Nik Anisa ke sekolah agama bagi mengikut jejak abangnya, walaupun arwah tidak sempat menjadi seorang hafiz.

"Selepas ketiadaan arwah, hanya tinggal Nik Anisa yang mampu mengubati kesedihan dan kerinduan kami terhadap Daniel yang lebih mesra dipanggil Abang Long.

"Bagi Nik Anisa pula, setiap kali orang memakai jubah putih dan kopiah, dia mesti menyangkakan itu Abang Long, sekali gus membuatkan kami bertambah sedih," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Menginsafi Musibah dianjurkan Maahad Tahfiz Al-Hashimi, di sini, hari ini.

Pada 2 Jun lalu, Nik Ahmad Daniel, antara tujuh terkorban selepas van yang membawa 12 pelajar dan dua guru agama terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Telekong, di sini.

Nik Suriani yang menetap di Shah Alam, berkata dia bersama suami, Nik Ahmed Rithaudden Nik Mohamad, 37, dan Nik Anisa sering melawat kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Panji, Kota Bharu setiap kali pulang ke kampung.

"Apa yang saya tidak boleh lupa adalah permintaan arwah yang tiba-tiba mahu saya belikan baju T berwarna putih ketika keluar membeli belah, walaupun dia biasanya suruh membeli baju jersi," katanya.

Sementara itu, Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim, berkata sebuah pusat komersial Islamik bernilai lebih RM8 juta bakal diwujudkan di CT-One Islamic Centre (CIC) atau lebih dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Hashimi di Kampung Tualang, di sini.

Katanya, pusat komersial berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembangunan CIC fasa II yang dijadual bermula bulan ini dan mengambil masa kira-kira empat tahun membabitkan dua infrastruktur tambahan iaitu sebuah kompleks bangunan empat tingkat serta chalet

12 dibaca
Berita Harian X