Ahad, 1 Oktober 2017 | 5:21pm
AHLI Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Mohamad Aziz (tengah) diiringi Timbalan Pengarah TH Johor, Mustafa Kamal Abdul Latif (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Shahrizan Musa (kanan) pada Majlis lawatan TH ke rumah waris jemaah haji di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Anak bersyukur ibu sempat sempurnakan haji sebelum meninggal

JOHOR BAHRU: "Saya bersyukur ibu sempat menyempurnakan haji sebelum tiba-tiba jatuh sakit," kata Muhammad Shahrizan Musa, 36, anak jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci, baru-baru ini.

Ibunya, Sapariah Samsudin, 62, menghembuskan nafas terakhir pada 26 September lalu akibat kegagalan paru-paru.

Allahyarham pernah memaklumkan kepada anaknya mengenai perasaan terujanya untuk ke Tanah Suci walaupun menghidap sakit sendi.

Muhammad Shahrizan berkata, ibunya tidak pernah putus menunaikan solat sunat duha, selain menyiapkan kelengkapan haji dan bertanya rakan mengenai ibadat berkenaan.

"Ia pengalaman pertama arwah ke Makkah. Penantian lebih 10 tahun membuatkan arwah ibu teruja untuk ke sana, malah kami adik-beradik tidak menghalang, sebaliknya menggalakkan ibu untuk ke sana.

"Sejak arwah ayah meninggal dunia pada 1996 akibat kanser usus, ibu menjadi tulang belakang keluarga yang membesarkan kami dengan menjual kuih di hadapan rumah," katanya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tiram, di sini hari ini, beliau yang anak ketiga daripada lima beradik memaklumkan ibunya mengerjakan haji bersama kakak saudara arwah, Alimah Osman, 72.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, pada 16 Ogos lalu.

Katanya, Tabung Haji (TH) memaklumkan kematian ibunya yang mengalami kegagalan paru-paru di Hospital King Faisal, Makkah, pada jam 11.43 malam waktu tempatan pada 26 September lalu.

"Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syarai'e di Makkah pada hari sama," katanya.

Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Mohamad Aziz melawat keluarga arwah dan menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian sebanyak RM1,500 serta air zam-zam dan kurma.

59 dibaca
Berita Harian X