Sabtu, 30 September 2017 | 6:57pm
PENGERUSI Matta Johor Chapter, Kathryn Lee Hwee Ching (empat dari kanan depan) bergambar bersama pemenang pembeli pakej pelancongan Matta Fair 2017, di Ponderosa Golf Country Club. - Foto Mohd Azren Jamaludin

MATTA Johor rai pembeli, pelawat pameran 

JOHOR BAHRU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor hari ini meraikan pembeli pakej dan pengunjung tiga Pameran MATTA dianjurkan dalam tahun ini di negeri ini.

Sebanyak 15 hadiah termasuk satu hadiah utama disediakan, masing-masing menerusi cabutan bertuah pada majlis itu.

Hadiah utama kategori pembeli pakej dimenangi Masiah Saamin yang membeli pakej ketika Pameran MATTA pada 4 hingga 6 Ogos lalu di Johor Bahru.

Masiah yang diwakili anaknya, Mohd Daniall Hidayat Hamli, 22, membawa pulang baucer pelancongan bernilai RM8,888 serta televisyen LED.

Beliau juga menerima pakej penginapan dua hari satu malam untuk empat orang, 18 tiket ke tempat percutian menarik dan satu sijil sah untuk 50 orang ke Taman Rama-Rama, Melaka.

Pemenang kedua, Tan Jou Ying yang diwakili ibunya, Chok Yin Fong, 55, membawa pulang baucer pelancongan RM5,000 bersama wang tunai.

Tempat ketiga dimenangi kerani syarikat swasta, Cheon Chiew Long, 23, yang membawa pulang baucer pelancongan RM4,000 bersama hadiah iringan.

Bagi kategori pelawat pameran, hadiah utama dimenangi Chiam Sheh Way yang mengunjungi Pameran MATTA di Johor Bahru pada 4 hingga 6 Ogos lalu.

Beliau membawa pulang pakej penginapan dua hari satu malam, baucer AEON bernilai RM200 serta hadiah iringan.

Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee, berkata semua pemenang dipilih berdasarkan pembeli pakej dan pengunjung tiga Pameran MATTA, iaitu pada 24 hingga 26 Mac dan 4 hingga 6 Ogos lalu di Johor Bahru serta 29 hingga 30 Julai di Batu Pahat.

"Ini usaha kami meraikan dan menghargai pembeli pakej di Pameran MATTA, termasuk pengunjung pameran," katanya.

Berita Harian X