Sabtu, 23 September 2017 | 11:15am
PENGARAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Sabli (lima dari kanan) ketika hadir di Majlis Pelancaran Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR 2017) di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah. - Foto Avila Geraldine

Kesedaran bahaya rasuah di Sabah meningkat

KOTA KINABALU: Semakin ramai masyarakat di Sabah mengambil berat mengenai gejala rasuah dan tampil memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata maklumat yang diterima juga berkualiti dan pihaknya mengalu-alukan lebih ramai tampil membantu agensi itu dengan maklumat yang diperlukan.

Beliau memberi jaminan SPRM melindungi identiti pemberi maklumat.

"Bagaimanapun, kadang kala maklumat yang diterima tidak berkaitan dengan tugas SPRM, sebaliknya membabitkan jenayah dan fungsi agensi lain.

"Jadi kita perlu mendidik orang ramai berkaitan maklumat yang diperlukan SPRM.

"Jika maklumat yang diterima di luar bidang kuasa SPRM, kita akan serahkan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan," katanya kepada media selepas melancarkan Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) 2017, di sini, hari ini.

Program disertai kira-kira 100 anggota SPRM Sabah dan 45 ahli Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA) bermula dari Pusat Pentadbiran Persekutuan Sabah, di sini dan berakhir di Sindumin, Sipitang, petang nanti.

Peserta termasuk Sazali sendiri turut singgah di pekan Papar, Membakut, Beaufort dan Sipitang bagi menyebarkan mesej anti rasuah kepada penduduk setempat.

Sazali, berkata mereka akan menghabiskan masa selama dua jam di setiap lokasi bagi memberi penerangan mengenai fungsi dan tanggungjawab SPRM dalam memerangi rasuah.

"Program ini juga bertujuan untuk mengubah pemikiran orang ramai yang kurang mengambil berat mengenai rasuah untuk sama-sama membanteras gejala itu," katanya.

Berita Harian X