Sabtu, 23 September 2017 | 9:59am

KEJAR platform terbaik SPRM dekati masyarakat

Kota Kinabalu: Program Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR) antara platform terbaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendekati masyarakat.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Sabli, berkata melalui program turun padang itu, pihaknya dapat menyebar luas mesej antirasuah dan salah guna kuasa kepada masyarakat setempat.

"Program ini bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat kepada SPRM, tetapi ia dilihat mampu mendidik masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah serta penyalahgunaan kuasa kepada SPRM.

"Melalui program ini, kami harap masyarakat tidak lagi menggeruni SPRM, yang kami mahukan adalah 'SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan KEJAR di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.

Mengenai program itu, Sazali berkata, konvoi diadakan dengan kerjasama Sabah Big Bikers Association (SBBA), membabitkan 45 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi berkenaan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai persatuan dalam program berkaitan rasuah dan ini memperlihatkan komitmen dan kesungguhan persatuan itu membantu SPRM," katanya.

Konvoi yang berlangsung sehari itu akan melalui beberapa daerah, iaitu Papar, Mambakut, Beaufort, Sipitang dan berakhir di Sindumin. - BERNAMA

Berita Harian X