Jumaat, 22 September 2017 | 2:45pm
YOGESWARAN (kanan) dan penduduk Taman Asoka, Mantin, bersama ular sawa seberat 15 kilogram yang berjaya ditangkap.- Foto ihsan pembaca

Ular sawa 15kg cuba baham ayam ditangkap

SEREMBAN: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa seberat 15 kilogram yang cuba masuk ke dalam reban ayam di Taman Asoka, Mantin di sini, hari ini.

V Yogeswaran berkata, beliau dimaklumkan oleh jiran, P Jayakumar, 51, kira-kira jam 9.15 pagi yang melihat seekor ular sawa dipercayai dari kawasan anak sungai berhampiran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya, dia melihat ular dianggarkan sepanjang lima meter itu cuba masuk ke dalam reban ayam berhampiran rumah penduduk.

"Saya kemudian menarik ekor ular sawa itu dan dalam tempoh kira-kira lima minit berjaya menangkapnya walaupun tanpa peralatan lengkap," katanya.

Katanya, reptilia itu agak agresif serta cuba menggigitnya, tetapi dia berjaya mengelak dan menghantar haiwan itu ke Balai Bomba dan Penyelamat Mantin.

Berita Harian X