Isnin, 4 September 2017 | 3:55pm
YANG Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Zazali Salehudin. - Foto Abnor Hamizam

SWM ambil alih pengurusan sampah

JEMPOL: Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pusat Bandar Palong, di sini, diambil alih syarikat konsensi SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM).

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Zazali Salehudin, berkata kerajaan negeri bersetuju pusat bandar bagi Palong Empat, Lima dan Enam itu, dijadikan kawasan operasi khas MDJL bagi membolehkan SWM melaksanakan tugas pengurusan sampah.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan kawasan operasi khas ini berikutan menerima banyak aduan sampah tidak diuruskan dengan baik di kawasan berkenaan.

"Ini adalah kawasan operasi khas pertama diwujudkan di tanah rancangan FELDA. Kita berharap tahap kebersihan kawasan itu bertambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tong sampah beroda dan taklimat kawasan operasi khas di Dewan Orang Ramai FELDA Palong Lima, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Lilah Yasin.

Zazali berkata, SWM menempatkan 110 tong sampah beroda berkapasiti 120 liter selain lapan (1,100 liter) di sekitar pusat bandar berkenaan, termasuk di Dewan Orang Ramai FELDA Palong Empat, Lima dan Enam serta pasar awam.

Sementara itu, Pengurus Wilayah SWM Negeri Sembilan dan Melaka, Dr Al'Ashari Othman, berkata penyerahan tong sampah beroda itu adalah keperluan utama bagi memastikan perkhidmatan SWM dapat dilaksanakan dengan sistematik dan cekap.

Berita Harian X